Malaysia Dateline

Selepas Bung Moktar, MP PKR pula tawar diri disuntik vaksin Covid-19

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim hari ini menawarkan diri menjadi orang pertama dalam kawasan Parlimen itu untuk disuntik vaksin Covid-19.

Beliau berkata, tujuannya membuat pengisytiharan itu memberi keyakinan kepada rakyat bahawa vaksin yang akan digunakan dalam program suntikan kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia adalah selamat.

“Saya Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang dengan sesungguhnya dan suci hati mengisytiharkan bahawa saya menawarkan diri untuk menjadi orang pertama dalam kawasan Parlimen Pasir Gudang untuk menerima vaksin menentang Covid-19,” katanya.

Beliau juga meminta orang ramai memerangi pandemik Covid-19 agar semua mendapat semula kebebasan, kemerdekaan yang dikecapi sebelum dilanda pandemik itu.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menawarkan diri menjadi bahan uji vaksin Covid-19 di Malaysia bagi menyahut saranan ahli politik perlu menjadi golongan pertama disuntik vaksin itu.

“Saya tidak takut, saya mahu sihat, panglima perang kena dulu,” kata Timbalan Ketua Menteri Sabah itu ketika membahaskan peruntukan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan (KKM) pada persidangan Dewan Rakyat pada 9 Disember lalu.