Malaysia Dateline

Selepas dakwa Zahid minta tolong bebas pertuduhan, beranikah Mahiaddin bersumpah?

Sebagai menafikan dakwaan Mahiaddin Md Yasin bahawa beliau pernah meminta pertolongan bekas Perdana Menteri itu untuk membebaskannya daripada pertuduhan di mahkamah, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi akhirnya tampil menyatakan sedia bersumpah berkenaan perkara itu.

Sambil mempersoalkan dakwaan itu yang hanya dibuat ketika menjelang PRN Johor, Zahid Hamidi menafikan sama sekali beliau pernah meminta pertolongan Mahiaddin agar beliau dilepaskan daripada pertuduhan di mahkamah.

“Saya tidak pernah pergi berjumpa dengan Muhyiddin ketika beliau menjadi Perdana Menteri untuk meminta tolong dilepaskan daripada tuduhan mahkamah.

“Apatah lagi dengan membawa timbunan fail seperti yang didakwa dan minta untuk dilepaskan.

“Bagi membuktikan kebenaran itu, saya sanggup dan bersedia untuk melakukan sumpah laknat sebagai penafian kepada tuduhan jahat Muhyiddin ke atas saya,” katanya dalam satu hantaran melalui Facebook.

Serentak itu, Zahid Hamidi turut mencabar Mahiaddin untuk sama-sama bersumpah laknat untuk mempertahankan dakwaan yang dibuatnya sebelum ini.

Mahiaddin sebelum ini mendakwa Zahid Hamidi pernah datang bersama timbunan fail berjumpa dengannya untuk meminta dilepaskan daripada pertuduhan mahkamah yang sedang dihadapinya tidak lama selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Kata Presiden Bersatu dan Pengerusi PN itu, Zahid Hamidi datang menemui beliau di rumahnya di mana ketika itu Presiden Pas, Hadi Awang sedang mengadakan perbincangan politik dengannya.

Mahiaddin Yassin Hadi Awang Zahid Hamidi bersumpah
Mahiaddin dakwa Zahid datang ke rumahnya ketika Hadi sedang berjumpa dengannya.

Makna kata, berdasarkan dakwaan Mahiaddin itu, ada saksi iaitu Hadi Awang ketika Zahid Hamidi datang meminta pertolongan tersebut.

Begitu pun, Zahid Hamidi dengan jelas sekarang ini menafikan segala dakwaan Mahiaddin itu, sedia bersumpah dan mencabar bekas Perdana Menteri untuk sama-sama melalukan sumpah laknat.

Lalu, sediakah Mahiaddin menyahut cabaran Zahid Hamidi?

Jika Mahiaddin yakin dengan dakwaannya itu dan berasakan berada di pihak yang benar, tidak ada sebab untuk beliau takut untuk menyahut cabaran Zahid Hamidi ini.

Jangan pula lepas ini Mahiaddin memberi pelbagai alasan dan dalih untuk mengelak daripada melakukan sumpah laknat itu.

Pokoknya, Mahiaddin sendiri yang memulakan membuat tuduhan dan dakwaan terhadap Zahid Hamidi, maka tiada sebab untuk beliau tidak berani berhadapan dengan kebenaran.

Jika takut menyahut cabaran Zahid Hamidi, rakyat pasti akan menilai Mahiaddin hanya sekadar membuat dakwaan kosong semata-mata.

Membuat dakwaan kosong bermakna Mahiaddin akan hilang kredibiliti dan tidak dipercayai lagi.
Jadi, sahutlah cabaran Zahid Hamidi itu.