Malaysia Dateline

Selepas DAP Sabah, DAP Sarawak juga sokong Shafie jadi PM

DAP Sarawak menyokong pencalonan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Perdana menteri jika Pakatan Harapan (PH) Plus membentuk kerajaan.

Pengerusinya, Chong Chieng Jen dalam satu kenyataan berkata, pemilihan Shafie adalah peluang terbaik bagi Malaysia Barat untuk membina kembali keharmonian hubungan antara kaum dan agama yang baik pada masa lalu yang masih menjadi ciri khas Sabah dan Sarawak.

“Shafie telah terbukti menjadi pemimpin yang benar-benar mempromosikan kebebasan beragama dan keharmonian kaum.

“Tidak seperti banyak ahli politik Malaysia Barat terutama daripada Umno dan Pas yang cenderung untuk memenuhi kehendak politik perkauman dan agama untuk mendapatkan sokongan,” kata Chong.

Tun Dr sebelum ini turut menaruh kepercayaan pendekatan untuk mengetengahkan Shafie yang merupakan Ahli Parlimen Semporna itu mampu merapatkan lagi hubungan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Semalam, DAP Sabah menggesa semua Ahli Parlimen Malaysia Timur untuk menyokong Shafie.

Dalam perkembangan berkaitan, tokoh wartawan, Datuk Abdul Kadir Jasin juga berpendapat pencalonan Shafie adalah percubaan bagi memecahkan kebuntuan.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Mazlan Ali pula berkata, pemilihan Shafie yang dilihat sebagai pengiktirafan kepada anak peribumi itu dijangka tidak menyukarkan Tun Dr Mahathir untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 116 sokongan ahli Dewan Rakyat.