Malaysia Dateline

Selepas dapat ‘nasihat’ Muhyiddin, Menteri Umno tidak keluar dari Kabinet

Selepas bertemu Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri dan timbalan menteri Umno kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Pengerusi PN itu berkata demikian susulan pertemuan pemimpin Umno terbabit semalam, iaitu sehari selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Umno (PAU).

Muhyiddin memberitahu, beliau telah menasihatkan mereka berkenaan kedudukan dalam Kabinet selepas Umno memutuskan kerjasama dengan Bersatu.

“(Dalam pertemuan itu) Mereka meminta nasihat saya mengenai kedudukan mereka dalam Kabinet, berikutan keputusan PAU bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Bersatu pada PRU15.

“Saya telah menasihati mereka supaya terus kekal berada dalam Kabinet. Ini mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.

“Alhamdulillah, atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan telah dicapai bahawa semua menteri Umno akan terus kekal berada dalam Kabinet,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Beliau turut menegaskan beberapa menteri dari Umno memegang portfolio-portfolio penting yang berkaitan dengan tumpuan utama kerajaan untuk memerangi pandemik Covid-19, melaksanakan program imunisasi kebangsaan dan memulihkan ekonomi negara.

“Justeru, saya tidak mahu peletakan jawatan mereka dari Kabinet menjejaskan segala perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” katanya lagi.

Sehubungan kesepakatan dengan menteri-menteri Umno itu, Muhyiddin memberi jaminan bahawa Kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisiatif kerajaan akan terus dilaksanakan seperti yang dirancang.

Untuk rekod, seramai 14 Ahli Parlimen Umno telah dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri dalam Kabinet diumumkan Muhyiddin pada 9 Mac tahun lalu.

Sembilan daripadanya dilantik sebagai menteri iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Kanan – Menteri Pertahanan), Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (Menteri Tenaga dan Sumber Asli) dan Datuk Noraini Ahmad sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

Turut berada dalam Kabinet Muhyiddin ialah Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Menteri Belia dan Sukan); bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Menteri Luar Negeri) dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kini Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique menjadi Menteri Perpaduan Negara, sementara Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba sebagai Menteri Kesihatan.

Lima pemimpin Umno lagi yang kini berjawatan Timbalan Menteri:

1. Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas)

2. Ahli Parlimen Kuala Krau yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said – Timbalan Menteri Dalam Negeri I

3. Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin – Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

4. Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah – Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I

5. Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad – Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I.