Malaysia Dateline

Selepas dedah jerung dalam skandal LCS, ‘veteran mahkamah’ ini anggap urusan di mahkamah jadi mudah jika tidak bersalah

Selepas dedah jerung dalam skandal penyelewengan projek kapal tempur pesisir (LCS), Rafizi Ramli yang menganggap dirinya sebagai ‘veteran mahkamah’ menyifatkan urusan di mahkamah jadi mudah jika tidak bersalah.

Ikuti tulisan penuh Timbalan Presiden PKR berkenaan berjudul “Gelagat Najib di Mahkamah” yang dimuatnaik di Facebook beliau tengah hari tadi:

Rafizi Ramli

“Saya memang veteran mahkamah. Mana tidaknya, saya pernah turun naik untuk 14 kes. Sebahagiannya kes saman sivil, selebihnya kes jenayah di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Perbankan (BAFIA), Akta Hasutan, Akta Perhimpunan Aman, Kanun Keseksaan atas tuduhan membuat tohmahan dan lain-lain.

Semalam, apabila saya menamakan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad sebagai salah seorang jerung dalam skandal LCS, serta-merta saya dapat mesej WhatsApp dari peguam saya.

Dengan bersahaja dan berlawak, dia dah tahu kemungkinan besar pendedahan saya itu boleh menyebabkan saya di saman. Dia juga tahu bila saya kena saman, dia dan rakan-rakan peguam yang lain terpaksa menyediakan kes untuk membela saya secara percuma kerana saya tidak berduit dan tidak mampu membayar peguam-peguam yang mahal seperti Najib.

Tapi mereka tidak pernah jemu dengan perangai saya dan kami terus jadi kawan sejak 2011 lagi (apabila saya mula-mula mendedahkan skandal lembu dalam kondo). Seperti biasa, kami boleh melawak lagi bila kena ke mahkamah.

Kami tidak buat sumpah laknat sebab kami yakin bukti-bukti dan fakta yang ada itu jelas.

Kami tidak buat stunt berkali-kali di mahkamah dengan menukar peguam demi peguam seperti menukar tontonan video di TikTok.

Kami tidak mencari segala alasan untuk melengah-lengahkan perbicaraan.

Urusan di mahkamah jadi mudah bila kita tidak bersalah. Jika kita dihukum penjara pun, kita akan redha kerana kita yakin ia ujian dari Allah yang akan menaikkan darjat kita.

Urusan di mahkamah jadi susah bila kita takut menerima hukuman atas kesalahan yang kita telah buat.”

Baca juga Sejak dia ‘keluar gua’, letih Umno tepis peluru – Orang ramai sokong Rafizi terus terajang geng sakau duit rakyat

Baca juga Hangat bercinta kongsi gambar lucah, video bogel: Malu besar sampai berhenti universiti akibat dendam bekas teman wanita