Malaysia Dateline

Selepas diasak Anwar, Muhyiddin janji bentang peruntukan pemulihan ekonomi pada sidang ini

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan akan membentangkan segala peruntukan yang telah digunakan dalam pelan pemulihan ekonomi sepanjang menangani wabak Covid-19, pada sesi Parlimen sidang kali ini.

Beliau berkata demikian yang menjawab persoalan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempersoal tindakan kerajaan ekoran kegagalan kerajaan membahas peruntukan sebelum diluluskan dengan alasan penularan wabak Covid-19.

Anwar berkata, bilakah kerajaan mahu membentangkan perbahasan tersebut oleh kerana ia melibatkan peruntukan yang besar.

“Ini pertama kali melibatkan kos tinggi tetapi tidak dibahaskan dan tidak membolehkan ahli Parlimen berbahas.

“Saya nak penjelasan Perdana Menteri mengapa dihalang perbahasan mengenai pemulihan ekonomi dan peruntukan besar supaya rakyat dapat mendengar perbahasan kerana tak semua dikemukakan sampai kepada program yang direncanakan,” soalnya dalam sidang Parlimen hari ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pembangkang mempertikaikan bagaimana perbahasan boleh dihalang sementara pelantikan ahli-ahli Parlimen di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terus dilakukan.

“Saya nak dapat penjelasan oleh kerana yang diumum itu besar. Dampaknya besar, jumlahnya besar. Apakah tak munasabah Yb turut dengar dan berbahas.

“Mengapa kita halang perbahasan mengenai pemulihan ekonomi sementara pelantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terus menerus. Saya nak jawapan tegas. Bila nak dibentang,” soalnya.

Pada Mac, kerajaan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi (Prihatin) sebanyak RM250 bilion ekoran dari penularan wabak Covid-19 yang telah menjejaskan aktiviti perekonomian rakyat yang memberikan kesan kepada ekonomi negara pada kerangka makronya.

Pada Mei pula, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bernilai RM35 bilion diumumkan Muhyiddin.

Sementara itu, menjawab persoalan tersebut, Muhyiddin berkata, kerajaan tiada pilihan dalam keadaan genting selain terpaksa mengambil tindakan segera untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat.

“Walaupun belum dibentangkan, Menteri Kewangan akan membentangkan dalam sesi ini juga,” katanya.