Malaysia Dateline

Selepas dibantah, akhirnya NGO Ummah dan Harakahdaily mohon maaf

Selepas menerima bantahan dan kecaman hari ini NGO Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dan pihak editorial Harakahdaily memohon maaf berikutan menyenaraikan beberapa Ngo yang turut menyokong Darurat dikekalkan.

Dalam artikel bertajuk ‘440 NGO Islam sokong tempoh Darurat dikekalkan’ yang disiarkan dalam Harakahdaily pada 16 Jun lepas dilaporkan terdapat NGO yang disenaraikan tanpa pengetahuan mereka kononya menyokong darurat diteruskan.

Ekoran itu, beberapa NGO tampil dengan kenyataan masing-masing dan menafikan menyokong darurat diteruskan apatah lagi tidak tahu menahu nama-mana NGO mereka dimasukkan dalam senarai itu.

Selain Ngo Ummah Care Malaysia yang tampil menafikan perkara itu ada beberapa lagi Ngo yang turut sama menafikan antaranya Cinta Gaza Malaysia, ISMA, Palestanian Cultural Organization Malaysia (PCOM), Al Quds Foundation Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan, Islamic Propagation Society International (IPSI) dan Multi Racial Reverted Muslim (MRM).

Bagi Ummah Care Malaysia kenyataan yang disiarkan oleh lidah rasmi Pas itu seolah-olah menunjukkan Ngo-ngo ini bertindak derhaka kepada YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu kerana disenaraikan kononya mereka menyokong Darurat diteruskan.

“Tindakan tiada adab dan terdesak,” kata Presiden Ummah Care Malaysia Mohd Nasir Zakaria.

Dalam pada itu, Pengerusi Ummah Mohd Zai telah bertindak mengeluarkan senarai baru yang telah dikemaskinikan dan mengakui keprihatinan dengan sensiviti NGO yang bergerak adalah untuk mencapai objektif masing-masing.