Malaysia Dateline

Selepas didakwa ‘kudis’, Saifuddin tolak tawaran sertai Muafakat Nasional

Sehari selepas Datuk Saifuddin Abdullah disifatkan sebagai ‘kudis’ oleh pemimpin Umno, Menteri Kemunikasi dan Multimedia itu menolak tawaran untuk menyertai Muafakat Nasional.

“Saya hanya boleh kata terima kasih kepada beliau tetapi lebih daripada itu saya tidak boleh komen,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai pelawaan yang dikatakan dibuat oleh Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi pada 16 Jun berkata, perkara yang dibawa oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota itu adalah kudis.

“Masa PH memerintah, dia Menteri yang kuat mempromosi dan mempertahankan ICERD dan Statut Rom.

“Akhirnya Tun M batalkan atas asakan rakyat. Kini dalam PN dia lantik pula Eric Paulsen yang kuat menghina Islam sebagai Pengarah MPKM. Takkan Muhyiddin tidak boleh batalkan?

“Tindakan Saifuddin atas apa alasan sekalipun akan menjadi kudis kepada PN,” kata Puad melalui facebook beliau.

Menurut Puad, Umno dan Pas yang kuat menentang ICERD dan Statut Rom sudah tentu akan terpalit dengan perbuatan Saifuddin ini.

“Saifuddin cukup bangga menjadi seorang yang liberal. Dia pernah jadi CEO Global Moderate Movement (GMM). Memang dia akan disanjung oleh puak liberal dan human right macam Siti Kassim.

“Tetapi musibah kepada negara, Islam dan orang Melayu bagaimana?” kata beliau.

Bagi bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu, dengan melihat perjalanan politiknya “survival of the fittest” iaitu dari Umno kepada PKR, kepada Bersatu 1.0 dan kemudiannya Bersatu 2.0 maka apakah ini kualiti yang boleh menjamin survival PN?”

“Batalkan “segera” perlantikan itu,” desak Puad merujuk kepada perlantikan Eric Pulsen sebagai anggota Lembaga Pengarah MPKM.

Saifuddin selepas itu telah membuat U-Turn dengan membatalkan kembali perlantikan itu.