Malaysia Dateline

Selepas didesak PN, Ngeh letak jawatan speaker DUN Perak

Adun Sitiawan Ngeh Koo Ham yang juga Ahli Parlimen Beruas meletakkan jawatan sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Koo Ham, 59, meletakkan jawatan selepas berucap panjang yang antara lain menekankan kepentingan kedaulatan undang-undang dan urus tadbir ang baik.

Wakil rakyat DAP itu berkata, undang-undang jelas mengatakan pemilihan Speaker baru hanya boleh berlaku jika terdapat kekosongan dan notis perlu diberikan tujuh hari sebelumnya.

“Ia tidak sepatutnya dibuat melalui ancaman,” katanya, merujuk percubaan oleh Menteri Besar Faizal Azumu untuk memulakan usul undi tidak percaya bagi menuntut beliau meletakkan jawatan.

Faizal cuba berbuat demikian berdasarkan Peraturan 3 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap DUN, yang menyatakan usul yang dibawa menteri besar perlu diberi keutamaan.

Beliau kemudian menggesa 34 ADUN yang menyokongnya untuk bangun dan menyokong usul itu.

Sejurus itu, Koo Ham didekati beberapa pegawai DUN dan memintanya meninggalkan tempat Speaker, tetapi beliau enggan berbuat demikian dan berkata mahu melakukannya secara betul.

Oleh sebab itu, pertikaian antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang tercetus dengan ADUN pembangkang kemudian mendesak agar Koo Ham dibenarkan memberikan ucapan.

Koo Ham menutup ucapannya dengan mengisytiharkan penangguhan sidang DUN, tetapi Faizal berkata ia tidak boleh berbuat demikian tanpa meluluskan usul terlebih dahulu.

Selepas Koo Ham keluar, wakil rakyat pembangkang mula keluar dewan tetapi Faizal terus membawa usul untuk melantik ADUN Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharudin sebagai Speaker sementara.

Koo Ham sebelum ini dilantik sebagai Speaker DUN Perak bagi Mesyuarat DUN ke-14 pada 3 Julai 2018.

Namanya dicadangkan oleh ADUN Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari dan disokong ADUN Pasir Panjang Yahaya Mat Nor.

Perak pada 9 Mac lalu muncul negeri ketiga mempunyai kerajaan baru menerusi Perikatan Nasional (PN) selepas Johor dan Melaka.

PN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Perak apabila empat ADUN Bersatu diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan bergabung dengan 25 ADUN Umno serta tiga ADUN Pas.