Selepas digelar ‘crook’, adakah Najib akan saman Newsweek, tanya Kit Siang

Najib digelar ‘crook’ oleh Newsweek dan bekas presiden Bank Dunia, Paul Wolffowitze.

Persoalan yang timbul kini, adakah Datuk Seri Najib Razak akan hanya berdiam diri sahaja selepas bekas pengerusi Bank Dunia, Paul Wolffowitze dan Newsweek menyifatkan beliau sebagai ‘penjahat’ (crook).

Inilah persoalan yang dikemukakan kepada Najib oleh ketua parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Bagi beliau, ini adalah pertama kali dalam tempoh 60 tahun, perdana menteri Malaysia digelar sebagai ‘crook’ oleh pemimpin antarabangsa dan majalah antarabangsa.

“Adakah Najib akan terus berdiam diri atau menyaman atau mempertahankan maruah dirinya dan negara dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap Wolfowitz dan Newsweek kerana menggelarnya crook,” tanya Kit Siang dalam satu kenyataannya.

Katanya, dalam tempoh dua tahun ini, Najib telah digelar kleptokrat, MO1 dan kini ‘crook’.

Bagi beliau kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar bin Abdullah, bahawa pembelian Boeing oleh Najib dan pelaburan wang KWSP di Amerika tidak ada kena mengena dengan memperkasakan ekonomi Amerika sekali lagi merendahkan kebolehan Najib.

Irwan berkata, dakwaan oleh sesetengah pihak bahawa Najib mahu membantu ekonomi Amerika adalah tidak berasas.

“Adakah Najib akan membuat kenyataan bahawa dia telah tersalah petik dalam transkrip yang telah disediakan oleh Rumah Puteh dan dia tidak pernah berkata sebagaimana yang ditulis dalam transkrip itu,” tanya Kit Siang lagi.

Beliau percaya, pengiring Najib mempunyai rakaman juga dalam pertemuan lima minit dan 58 saat itu.

“Bilakah agaknya Najib akan menjemput mana-mana pihak yang berminat untuk mendengar sendiri rakaman perbualan Najib dan Trump di Rumah Puteh pada 12 September itu,” tanya ahli parlimen itu lagi lagi.