Selepas digeledah enam jam, anak Najib masuk rumah

Kereta BMW yang dinaiki Datuk Seri Nazri Aziz juga dilihat memasuki kediaman peribadi Najib hari ini. Foto The Star Online

Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat memasuki kediaman keluarga itu di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di ibu negara pada pukul 11.50 pagi tadi.

Kenderaan jenis Toyota Vellfire dengan nombor plat CDR 11 yang membawa anak bekas Pengerusi BN berkenaan kemudiannya keluar dari kediaman itu pukul 2.15 petang.

Selain peguam Najib, Datuk Harpal Singh Grewal, Ahli Parlimen Padang Rengas, Perak, Datuk Seri Nazri Aziz juga antara yang memasuki kediaman itu.

Sejak pukul 10.30 malam tadi, proses siasatan yang dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di rumah Najib masih berjalan.

Walaupun, Harpal sejurus keluar dari kediaman Najib pukul 4.25 pagi tadi memaklumkan polis selesai melakukan penggeledahan sekitar 4 pagi tadi tetapi polis sehingga kini masih belum beredar.

Beliau dalam satu sidang media sama memberitahu polis hanya mengambil barangan peribadi seperti beg tangan, pakaian serta hadiah sebagai barang bukti bagi membantu siasatan.

Harpal turut mengesahkan tiada dokumen dirampas dalam operasi polis sepanjang hampir enam jam itu.

Tempoh yang lama itu, kata Harpal, kerana kediaman itu agak besar dan pemeriksaan dilakukan di setiap bilik.

Selain kediaman Najib di Taman Duta, polis juga serentak memeriksa sebuah lagi rumah bekas Presiden Umno itu di Pavilion Residence Apartment, Kuala Lumpur.

Lebih 20 pegawai dan anggota polis dilapor memasuki unit kediaman mewah berkenaan jam 10 malam tadi.

Operasi pengeledahan dan pemeriksaan itu dibuat bagi membantu siasatan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Amar Singh mengesahkan pihaknya melakukan pencarian dokumen di beberapa lokasi kediaman Najib.

7.3
OVERALL SCORE
: 5.0
6 user votes x 7.7