Malaysia Dateline

Selepas dihubungi ‘pegawai’ polis dan LHDN, RM413,000 milik penjawat awam melayang

Gara-gara terperdaya dengan individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), seorang penjawat awam kerugian sebanyak RM413,000.

Mangsa berusia 60 tahun diperdaya sindiket Macau Scam selepas menerima panggilan telefon daripada penyamar berkenaan pada 29 Oktober lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner, Ismail Dollah, suspek menerusi panggilan telefon tersebut menyatakan mangsa mempunyai tunggakan cukai.

“Selepas mangsa menafikan tunggakan berkenaan, panggilan itu kemudiannya disambung kepada pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak,” dipetik BH.

Beliau berkata, menerusi panggilan telefon itu, suspek menyatakan maklumat peribadi mangsa terbabit dalam jenayah pengubahan wang haram dan penyalahgunaan dadah sebelum ini.

“Suspek mengarahkan mangsa untuk memindahkan kesemua wang di dalam akaun mangsa ke dalam akaun ‘mule’ yang diberikan oleh suspek bagi tujuan siasatan.

“Mangsa yang percaya dengan kata-kata suspek, membuat pembayaran berjumlah RM 413,000 secara berperingkat,” jelasnya.

Ismail menambah kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta denda.

Baca juga ‘Review pasal nasi lemak pun terus dapat beribu-ribu pengikut’ – Dah jadi trend layan mat saleh macam raja

Baca juga ‘Pakai but anda, kanak-kanak’ – Jururawat potong kaki pesakit nazak sebelum pamer di kedai antik untuk pengajaran