Selepas dikecam, dua Adun DAP Pahang anggap sokong ICERD bukan hapus Perkara 153

Selepas dikecam, dua Adun DAP Pahang anggap sokong ICERD bukan hapus Perkara 153

Dihujani ratusan kecaman dan perkongsian bernada kutukan daripada rata-rata masyarakat Melayu hanya selepas dua hari dimuat naik di Facebook, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Pahang akhirnya tampil membela diri.

Menurut Adun Tras, Chow Yu Hui dan Adun Tanah Rata, Chiong Yoke Kong dalam kenyataan bersama, artikel mereka kelmarin berhubung ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak mengandungi ungkapan berbunyi “Hapuskan Artikel 153”.

“Tindakan meminta untuk menandatangani ICERD tidak bermakna akan/perlu menghapuskan Artikel 153.

“Dalam kenyataan media Majlis Peguam Malaysia bertarikh 9 Nov 2018, Majlis Peguam Malaysia dah menerangkan bahawa tiada percanggahan antara Artikel 153 dengan ratifikasi ICERD,” dipetik dari Facebook Yu Hui hari ini.

Mereka mendakwa menghormati Perlembagaan Persekutuan dan menegaskan segala pindaan harus mengambil kira dan memerlukan persetujuan masyarakat mahupun konsensus bersama oleh keempat-empat parti pemerintah.

“Frasa ‘tidak label Bumiputera dan bukan Bumiputera’ dalam Deklarasi Setapak sebenarnya adalah mendukung semangat menjaga semua rakyat dalam pelaksanaan dasar dan tidak berniat untuk menghapuskan status Bumiputera.

“Kami juga setuju Artikel 1 (4) ICERD – menyatakan “langkah khas” (termasuklah tindakan afirmatif) adalah dibenarkan,” kata mereka lagi.

Kelmarin, kenyataan kedua-dua mereka dilihat ibarat menjolok sarang tebuan apabila mengundang cemuhan kalangan masyarakat Melayu termasuk pengundi Pakatan Harapan (PH) apabila mengaitkan ‘Deklarasi Setapak’ dengan tuntutan agar DAP menyokong ICERD.

“Pengisytiharan ‘Deklarasi Setapak’ yang dirumuskan oleh pelopor DAP pada tahun 1967, adalah satu bukti kepercayaan parti DAP bahawa prinsip kesaksamaan antara kaum mesti diterapkan dalam proses pembangunan negara, terutamanya apabila kita berada dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum.

“Dalam ‘Deklarasi Setapak’, pendirian DAP adalah sangat tegas dan kukuh bahawa warganegara Malaysia tidak harus diasingkan dengan label ‘bumiputera’ dan ‘bukan bumiputera’.

“Kalau kita melihatnya dalam konteks hari ini, ideologi DAP pada ketika itu adalah satu pendirian yang bersifat inklusif dan berpandangan jauh,” dipetik dari kenyataan yang dimuat naik pada 9 November lalu.

Antara ratusan kritikan terhadap tulisan Adun DAP Pahang yang mengaitkan ratifikasi ICERD dengan Deklarasi Setapak.

Asimilasi

Yu Hui dan Yoke Kong juga mendedahkan sejak puluhan tahun lalu, DAP kekal menentang dasar asimilasi yang diperkenalkan oleh Barisan Nasional, iaitu dasar ‘Satu Bangsa, Satu Budaya, Satu Bahasa’.

Mereka menganggap dasar tersebut sebagai satu bentuk diskriminasi kaum sedangkan visi DAP adalah membina sebuah masyarakat yang tiada pengasingan antara warna kulit atau kaum.

“Jangan sesekali terpengaruh dengan kenyataan bahawa perpaduan rakyat hanya boleh dicapai dengan merendahkan status atau kedudukan kaum masing-masing.

“Ini bukanlah erti “kesaksamaan untuk setiap rakyat” tetapi ia namanya ialah “asimilasi semua rakyat”.

“Kita mesti tahu, perbezaan warna kulit bukannya satu dosa atau alasan untuk menafikan hak seseorang,” tulis mereka.

Sehubungan itu, kedua-dua Adun itu mengingatkan tentang matlamat DAP jika masih mahu menjadi ‘parti untuk semua rakyat’.

“Caranya bukanlah untuk menggesa rakyat merendahkan status bangsa masing-masing, atau hanya membawa masuk ahli baru yang berlainan kaum.

“Ia sepatutnya bermula dengan memberi sokongan di Parlimen atau Kabinet untuk meratifikasikan ICERD.

“Seterusnya, DAP perlu memperbetulkan sistem dan dasar perkauman Barisan Nasional secara beransuran, dan sekali gus menghentikan politik perkauman selama ini.

“Gantikannya dengan polisi yang berkepentingan memelihara hak setiap kaum, agar semua bangsa di Malaysia dapat terus hidup makmur bersama, demi negara yang mendukung prinsip kita semua sama,” tegas mereka lagi.