Selepas dikecam, Exco DAP ubah dakwaan dari ‘sekumpulan Muslim’ kepada ‘gangster’

Selepas dikecam, Exco DAP ubah dakwaan dari ‘sekumpulan Muslim’ kepada ‘gangster’

Selepas menerima kecaman orang ramai, dakwaan Exco DAP kerajaan negeri Selangor, V. Ganabatirau di laman sosial Facebook didapati diubah daripada sekumpulan orang Islam kepada samseng berhubung rusuhan di kuil dekat Subang Jaya awal pagi tadi.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin itu memberitahu sekumpulan orang Islam yang terlibat dalam rusuhan tersebut sebagai cubaan untuk mewujudkan ketidakharmonian dalam kalangan kaum di negara ini.

Ganabatirau menggesa polis melakukan siasatan secara teliti terhadap insiden itu dan memberi perlindungan yang diperlukan kepada orang awam mengikut Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Dakwanya, dia menerima laporan sekumpulan penceroboh memasuki kuil dengan senjata berbahaya dan menyerang orang awam di kuil itu.

Dalam kenyataan sama, ujarnya, isu penempatan semula Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di USJ25 itu adalah berikutan perebutan antara dua kumpulan dalam pentadbiran kuil.

Bagaimanapun, tuduhan Adun Kota Kemuning yang mengaitkan dengan orang Islam itu dikritik pelbagai pihak dengan rata-rata menganggap bersifat rasis dan menyemarakan sentimen perkauman melampau.

Banyak pihak juga berpendapat isu pergaduhan di kuil itu bukan melibatkan umat Islam tetapi masalah syarikat pemaju dengan pihak pentadbiran kuil dengan sekumpulan samseng upahan.

Antara kenderan yang dibakar ketika pergaduhan dua kumpulan di kuil Hindu Hindu di USJ 25 kira-kira jam 2 pagi tadi.

One City

Untuk rekod, Ganabatirau pada 31 Oktober lalu dilapor berkata, empat pihak terlibat telah bersetuju memindahkan kuil itu dan menyerahkan kembali tapak kuil dalam keadaan kosong kepada pemilik tanah.

Mereka terbabit dalam penghakiman berkenaan ialah kerajaan negeri Selangor, pemilik tapak kuil itu One City Development Sdn Bhd (One City) serta dua individu yang mendakwa pentadbir kuil tersebut, K. Chellappa dan M. Nagaraju.

Chellappa memfailkan bantahan terhadap usaha One City mengambil tapak kuil berkenaan pada 1996.

Ganabatirau berkata, pemilik tanah, One City bersetuju mendepositkan wang sebanyak RM1.5 juta kepada pihak kuil dan difahamkan wang telah didepositkan kepada peguam kuil.

Jelasnya, kerajaan negeri turut menyerahkan tanah seluas kira-kira 0.4 hektar (satu ekar) kira-kira tiga kilometer dari lokasi asal kuil.

Menurut Ganabatirau, pihaknya percaya isu pemindahan kuil itu telah dipolitikkan oleh pihak tidak bertanggungjawab apabila mahkamah kemudian memutuskan bahawa Chellappa adalah pentadbir sah kuil berkenaan.

Jelasnya, keputusan itu tidak dipersetujui Nagaraju yang kemudian bertindak membantah kuil tersebut dipindahkan selain mendakwa kerajaan negeri telah mengarahkan ia dirobohkan.

Perancangan projek One City @ USJ 25 yang bertemakan ‘The Ever Happening City’.

Amaran

“Ini adalah tidak benar kerana arahan pemindahan kuil ini dikeluarkan oleh mahkamah dan kerajaan negeri perlu patuh kepada arahan berkenaan,” katanya.

Kerajaan Selangor, tambahnya, sentiasa menjaga keharmonian dan hak semua agama termasuk agama Hindu, di mana sejak 2008 kira-kira 130 tapak kuil telah diwartakan.

Pada 28 September lalu, satu notis pengosongan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengarahkan penghuni kuil itu mengosongkan tapak pada atau sebelum 15 Oktober lalu.

Bagaimanapun pada 25 Oktober lalu, kira-kira 300 individu yang tidak bersetuju kuil itu dipindahkan bertindak berkumpul di kuil berkenaan semasa urusan pemindahan dijalankan.

Individu terbabit mahu kuil berkenaan yang didakwa dibina pada 1891 diselamatkan berdasarkan merit agama dan sejarah, namun Ganabatirau memaklumkan bahawa kuil berkenaan dibina pada 1974.

Pergaduhan di tapak kuil tersebut kira-kira jam 2 pagi itu kemudiannya menyaksikan sebanyak 18 kenderaan pelbagai jenis dan dua motosikal berhampiran susur keluar USJ di Lebuh Raya Elit dibakar.

Puluhan individu berkumpul dan merusuh di kawasan tapak kuil berkenaan sebelum tercetus pergaduhan di lokasi terbabit. Akibatnya, lima parah dalam satu pergaduhan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim hari ini memberi amaran kepada semua pihak termasuk ahli politik supaya tidak mengambil kesempatan menyebarkan berita negatif yang boleh menimbulkan ketegangan antara kaum susulan insiden yang berlaku di kuil itu.

Menurutnya, insiden itu bukannya melibatkan ketegangan antara kaum atau agama sebaliknya melibatkan pemilikan tanah dan perpindahan sebuah kuil.