Selepas dikecam isu LGBT, Numan Afifi letak jawatan

Pegawai akhbar kepada Menteri Belia dan Sukan, Numan Afifi, mengambil keputusan meletak jawatan daripada tugas berkenaan ekoran “kecaman dan ancaman hebat” yang diterima.

Beliau menganggap mustahil untuk dirinya menjalankan amanah diberi.

“Kecaman dan ancaman yang hebat oleh agen propaganda pembangkang telah menyebabkan mustahil untuk saya menjalankan amanah yang diberi.

“Justeru, saya mengambil keputusan untuk tidak bertugas secara rasmi di Kementerian (Belia dan Sukan),” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Numan sebelum ini mengundang kontroversi apabila dia didakwa tidak layak dilantik sebagai kakitangan kementerian tersebut apabila dikaitkan sebagai aktivis yang memperjuangkan hak ‘Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual’ (LGBT).

Mengulas lanjut, Numan memberitahu beliau akan ke luar negara dalam masa terdekat untuk menentukan hala tujunya selepas ini.

“Saya berhasrat untuk mengulang dan menegaskan kenyataan YB Menteri bahawa setakat ini belum ada sebarang pelantikan rasmi di Pejabat Menteri.

Menjawab mengenai isu beberapa nama tertera di laman web rasmi Kementerian, beliau memberitahu terdapat unsur-unsur sabotaj dan siasatan dalaman sedang dijalankan.

“Saya difahamkan oleh YB Menteri (Syed Saddiq) tindakan tegas akan diambil ke atas pesalah.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada saudara Syed Saddiq atas peluang dan tunjuk ajar yang diberi sepanjang kempen pilihan raya di Muar dan fasa transisi di Kementerian.

“Ia adalah satu penghormatan untuk berkhidmat untuk beliau,” tambah Numan lagi.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote