Malaysia Dateline

Selepas dipanggil pelacur, bagus juga kalau Pas berbaik-baik dengan Umno

AMANAH Pulau Pinang berpandangan adalah bagus juga kalau Pas boleh berbaik-baik dengan Umno selepas dipanggil ‘macam pelacur’ oleh pemimpin parti itu kerana ia boleh meredakan ketegangan antara umat Islam.

Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang Dr Zaidi Zakaria berkata, adalah baik apabila Pas ingin bergabung dengan Umno kerana Islam dan juga kerana Allah, sebab jika ianya benar sudah pasti akan dihormati setelah gabungan tersebut menamatkan sengketa sejak sekian lama.

Tidak dapat dinafikan sudah pasti sengketa tersebut memberi impak kepada perpecahan umat Melayu-Islam yang banyaknya berpunca dari Pas.

Katanya, sejarah tidak harus dilupakan apabila Pas menentang Umno dalam konteks pilihan raya, demokrasi berparlimen dengan cara yang amat keras, menghukum Umno seolah-olah difahami ahli-ahli dan penyokong mereka, Umno itu sudah diklasifikasikan sebagai munafik dan kafir.

“Oleh sebab doktrin inilah berlakunya dahulu putus silaturrahim keluarga, cerai-berai rumah tangga, sembahyang dua imam, haram daging sembelihan dan berlakunya peristiwa berdarah Memali.

“Harus juga difahami, menamatkan sengketa kerana hakikat partisan politik tiada kawan yang kekal selamanya dan tiada juga musuh yang kekal berterusan sehingga boleh diibaratkan realiti hubungan, kerjasama, gabungan, pakatan atau kebersamaan umpama mainan Yo-Yo, asalkan untung ambil, jika rugi ditinggalkan tidak kiralah apa jua jenama parti sekalipun.

“Namun begitu, sayang seribu kali sayang, tabiat Pas pada realitinya tidak berubah sedangkan yang berubah hanyalah memilih pasangan doktrin dan mentaliti mereka berpolitik sama seperti dulu juga,” tegas beliau.

Tambahnya, jika dahulu Umno dijadikan sasaran yang dahsyat, tapi kini AMANAH dan PKR pula dijadikan sasaran sebagaimana yang pernah mereka lakukan terhadap Umno sebelum ini dengan politik yang keras serta wewenang menghukum lawan maupun musuh politik.

Sehubungan itu saran beliau, tiada makna diwarwarkan politik matang dan sejahtera sekiranya praktikal berpolitik itu masih seperti dulu iaitu keras dan menghukum dengan sewenang-wenangnya.

Maka itu tambah Dr Zaidi, jika Pas tidak membuang tabiat hanya berubah dalam memilih pasangan sahaja, adalah tidak menghairankan sekiranya ada yang mengatakan ‘Pas macam pelacur’ walaupun Pas sebenarnya sangat berpotensi menjadi parti nombor satu umat Melayu-Islam seandainya mengambil pendekatan yang ‘moderate’ dan pragmatik.

Bekas rakan Pas yang pernah bersama-sama membentuk kerajaan negeri Kelantan menerusi Angkatan Perpaduan Ummah, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa Pas macam pelacur politik.

Ini berdasarkan sikap pemimpin parti itu sendiri terutama ketika mahu berkawan dengan Bersatu dan dalam masa yang sama mahu berkawan juga dengan Umno.