Malaysia Dateline

Selepas dipujuk 2 jam, tahanan Sosma berhenti mogok lapar

Misi memujuk 118 tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) di penjara Sungai Buloh berjaya apabila mereka berhenti mogok lapar yang dimulakan sejak 8 pagi kelmarin.

Misi yang diketuai, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang) Hanipa Maidin mengambil masa selama dua jam berbincang dengan wakil mereka.

“Alhamdulillah setelah dua jam berbincang, mereka setuju ‘to end their hunger strike’. ‘Fist time’ pengalaman ini…fuhh very challenging..,”ujar Hanipa.

Hanipa bersama peguam T Harpal Singh masuk ke penjara kira-kira 11.30 pagi mendapati ke semua tahanan berada dalam keadaan lemah tetapi masih terkawal dan kesihatan mereka terus dipantau pihak penjara.

“Lawatan saya ke sini bukan untuk raih populariti, ia sebahagian tanggungjawab saya sebagai Menteri, hari ini misi kita berjaya (henti mogok lapar),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama ahli keluarga tahanan selepas perjumpaan itu di hadapan penjara Sungai Buloh.

Turut hadir, Pengarah Penjara Sungai Buloh, Abdul Kadir Rais dan Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah.

Lebih 100 ahli keluarga tahanan Sosma berkumpul di hadapan penjara berkenaan sejak jam 11 pagi tadi bagi menggesa kerajaan menghapuskan akta berkenaan.

Semalam, NSTP melaporkan kerajaan kini sedang meneliti cadangan pemansuhan Sosma melalui jawatankuasa yang dibentuk.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman berkata, jawatankuasa yang terdiri daripada pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk badan bukan kerajaan (NGO), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Jabatan Peguam Negara itu sudah beberapa kali bermesyuarat.

Dalam pada itu, Hanipa menggesa ahli keluarga yang masih berhimpun di pekarangan penjara itu untuk bersurai berikutan isu mogok itu sudah selesai.

“Ahli keluarga boleh bersurai, tidak perlu bimbang lagi, yang penting berdoa supaya tahanan itu sentiasa berada dalam keadaan sihat,” katanya dipetik Berita Harian.

Sementara itu, Mohd Ridzuan berkata pihak penjara memberi lampu hijau kepada ahli keluarga terbabit untuk melawat tahanan itu tengah hari ini.

“Namun, ia hanya tertakluk kepada beberapa tahanan yang mempunyai hak untuk menerima pelawat.