Malaysia Dateline

Selepas direman Jamal masih tanya bila Zaid nak ditangkap

Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini dibebaskan selepas ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan polis.

Beliau yang dibebaskan pada jam 1.20 petang tadi dilihat keluar dari Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dengan diringi beberapa rakan NGO dan peguamnya.

Jamal ketika menemui media sejurus dibebaskan, melahirkan rasa dukacitanya kerana ketika beliau berada di lokap tiada tindakan diambil pihak polis terhadap ahli DAP Datuk Zaid Ibrahim.

“Dua hari di dalam dan saya keluar hari ni pun, saya dapat tahu Zaid masih belum diambil tindakan dan ini perkara mendukacitakan.

“Saya tidak tahulah apa yang sepatutnya dilakukan lagi,” ujarnya.

Beliau yang dibebaskan atas jaminan polis hari ini memberitahu mengalami masalah sakit di bahagian belakang badan.

“Saya sudah maklumkan kepada pegawai siasatan, saya ada masalah urat belikat di belakang.

“Saya sudah minta kebenaran dari pihak majistret yang membenarkan dibawa masuk tilam tetapi sehingga semalam saya tidak dapat tilam.

“Pagi tadi saya mengalami pitam seketika dan pihak polis mahu bawa saya ke hospital tetapi saya fikir tidak perlu disebabkan reman saya sudah berakhir hari ini.

“Saya nak ke hospital sekarang untuk buat pemeriksaan,” ujarnya yang terus di bawa ke dalam kenderaan untuk di bawa ke Hospital Ampang Puteri bagi mendapatkan rawatan sakit belakangnya.

Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, ditahan oleh Pasukan Siasatan Khas (D9) Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di hadapan pintu utama Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada jam 8 malam Sabtu lalu.

Perintah reman telah dikeluarkan oleh Majistret Umzarul An Nur Umar, di IPD Dang Wangi, selepas mendapatkan permohonan dari pihak polis.

Beliau ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

Baca: Jamal disoal siasat lewat malam kerana cabar polis tangkap Zaid