Malaysia Dateline

Selepas disiasat kes projek jalan raya, Naib Presiden Warisan kena pertuduhan hampir RM9 juta

Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Peter Anthony mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan membabitkan dana RM8.75 juta, di Mahkamah Khas Rasuah, di Kota Kinabalu, hari ini.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu membuat pengakuan terbabit di hadapan Hakim Abu Bakar Manat selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu berdepan lima pertuduhan, iaitu dua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Tiga pertuduhan lain membabitkan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagaimanapun, Peter yang diwakili empat peguam iaitu Luke Ressa Balang, Martin Tommy, Cedric Choo dan Datuk Douglas Lim dibenarkan ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan dua penjamin tempatan.

Dalam pada itu, mahkamah menetapkan sebutan semula kes terbabit, pada 4 Ogos hadapan.

Semalam, Peter, 49, dipanggil ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah bagi memberi keterangan kira-kira tiga jam berhubung kes terbabit.

Kelmarin pula, bekas Presiden Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDMM) itu memberi keterangan berhubung sejumlah projek jalan raya di Sabah.

Tanpa mendedahkan secara terperinci kes terlibat, Peter dipanggil ke Pejabat SPRM negeri selama tujuh jam bermula pukul 10.22 pagi.