Malaysia Dateline

Selepas ditegur, PMO mengaku silap dan ubah kenyataan

Ucapan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa diperbetulkan oleh Menteri Kewangan dan juga Pejabat Perdana Menteri selepas ditegur oleh mantan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini mengakui terdapat beberapa kesilapan dalam ucapan Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disiarkan semalam.

Ia membabitkan kesilapan jumlah pemberian bantuan kerajaan sepanjang pandemik wabak Covid-19.

Kesilapan dalam perutusan Perdana Menteri semalam, antaranya menyebut: Seramai “1.4 juta” pemandu e-hailing menerima wang tunai RM500, berjumlah RM10.4 juta.

Selain itu, “477,000” pemandu teksi, bas dan pelancong menerima wang tunai RM600, berjumlah RM28.8 juta.

Manakala, “834,000” perniagaan dan “6,7 juta” individu telah mendapat manfaat daripada skim bantuan subsidi upah.

Dalam satu kenyataan ralat yang dikeluarkan PMO hari ini, angka sebenar adalah: sebanyak 68,336 pemandu e-hailing yang telah menerima elaun tunai RM500 berjumlah RM34 juta.

Manakala 37,127 pemandu teksi, pemandu pelancong dan pemandu bas pesiaran telah menerima elaun tunai RM600 dengan jumlah keseluruhan RM22.2 juta.

Mengenai bantuan subsidi upah pula, inisiatif yang bernilai RM7.4 bilion telah memberi manfaat kepada 313,000 majikan dan 2.5 juta pekerja di seluruh negara.

Semalam, bekas menteri pengangkutan Anthony Loke sudah pun menegur bahawa terdapat dua fakta yang salah dalam isi kandungan ucapan Muhyiddin yang membabitkan kenyataannya di perenggan ketujuh.

Anthony berkata, Jumlah pemandu e-hailing di seluruh negara, tidaklah mencecah 1.4 juta orang memandangkan hanya sekitar 120,000 pemandu e-hailing yang telah berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Di Dewan Rakyat hari ini pula, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengakui terdapat angka yang tidak tepat yang disebutkan oleh Muhyiddin dalam perutusan khasnya semalam.

“Mengenai nombor yang dipetik dari ucapan yang amat berhormat Perdana Menteri, ada nombor yang kurang tepat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian apabila Saifuddin Nasution Abdullah (PH-Kulim Bandar Baharu) bertanya mengenai angka tersebut dalam ucapan tersebut.