Selepas diusik boleh bawa Pas kepada Pakatan, Tuan Ibrahim nafi

Selepas diusik boleh bawa Pas kepada Pakatan, Tuan Ibrahim nafi

Selepas dikatakan boleh membawa Pas bersama Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum akan datang, timbalan presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, Pas tidak akan sesekali menyertai Pakatan Harapan.

“Pas akan terus mara dan memperkukuhkan parti sebagai blok ketiga,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataannya.

“Pas menegaskan sekali lagi bahawa tidak akan sesekali menyertai Pakatan Harapan dan tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan DAP dan PAN (Amanah),” tegas Tuan Ibrahim.

Dalam wacana Hard Talk bersama Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin, Datuk Husam Musa berkata, beliau yakin Pas boleh bersama dengan Pakatan Harapan jika dipimpin oleh Tuan Ibrahim.

“Namun jika Ustaz Hadi memimpin, gone case,” kata beliau dalam program yang diikuti ratusan ribu penonton secara live dan video rakaman di media sosial itu.

Kenyataan ini dibuat menjelang Muktamar Tahunan Pas yang akan diadakan penghujung bulan ini.

Bagi Tuan Ibrahim, keputusan tidak akan bersama Pakatan Harapan telah terbukti tepat berikutan sikap penentangan berterusan DAP dan Amanah terhadap agenda Islam yang dibawa oleh Pas termasuk RUU355.

“Sikap ini jelas kelihatan di parlimen pada 6 April 2016, ketika Presiden Pas dan Setiausaha Agong PAS membentangkan RUU355,” katanya.

Bagi beliau, episod RUU355 juga membuktikan perumpamaan yang digunakan Presiden Pas betul, di mana kedua-dua belah ibarat biawak hidup di mana satu belah tidak berani membawa, dan satu belah bukan sahaja menentang, bahkan hak Pas untuk membentangkan RUU355 melalui saluran demokrasi yang sah pun cuba dihalang.

Tuan Ibrahim memuja presiden Pas apabila berkata, “Mereka yang kepanasan berikutan pembentangan dan penghujahan cemerlang Presiden Pas dan Setiausaha Agong PAS di parlimen mengenai RUU355.”

Kini, katanya, mereka cuba mengalihkan perhatian dengan meletakkan pelbagai tuduhan pada Pas tanpa seurat bukti dan juga bermain saraf untuk melagakan pimpinan Pas.

“Namun, strategi lapuk ini tidak akan berjaya kerana Pas yang ada hari ini telah menjadi lebih matang dan kukuh ekoran perpecahan di 2015,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kepada yang membuat tuduhan, laporlah kepada pihak berkuasa seperti polis dan SPRM agar tindakan dapat diambil terhadap Pas sekiranya ada.

“Pas akan memberikan kerjasama sepenuhnya dan ,” katanya.