Sukan SEA: Selepas dua bulan artis belum dibayar memalukan

Sukan SEA: Selepas dua bulan artis belum dibayar memalukan

Laporan mengenai artis tidak menerima bayaran walaupun dua bulan telah berlalu sejak mereka membuat persembahan di upacara penutup Sukan SEA KL 2017, amat-amat memalukan negara di persada industri hiburan antarabangsa.

Demikian kata Ahli Parlimen Segambut (DAP), Lim Lip Eng dalam satu kenyataan mengulas isu berkenaan.

“Selain para artis, berapa ramai lagi yang belum menerima bayaran, termasuk para kontraktor yang telah bekerja bertungkus lumus demi menjayakan KL2017?” soal beliau.

Menurut beliau lagi, khabarnya sukarelawan yang dijanjikan token untuk penat lelah mereka setelah menanggung perbelanjaan pengangkutan sendiri untuk berulang alik ke tempat acara masing-masing juga belum menerima token yang dijanjikan.

“Menteri Belia dan Sukan pula langsung tidak bersuara sepanjang masa hal ini dibangkitkan di media sosial.

“Sikap agensi kerajaan tidak mengambil peduli untuk memastikan mereka yang berhak mendapat bayaran yang sepatutnya perlu dikecam keras. Menteri sewajarnya menggantung gaji pegawai bertanggungjawab sehingga semua bayaran dilangsaikan. Baru dia tahu bagaimana rasanya bekerja tanpa mendapat bayaran,” kata beliau.

Beliau memberitahu, sekiranya pihak kerajaan masih melengah-lengahkan bayaran, sebagai seorang ahli parlimen saya bersedia untuk memberikan khidmat kepada mereka yang terjejas bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berwajib.

4.8
OVERALL SCORE
3 user votes x 6.3