Malaysia Dateline

Selepas dua minggu, Tajuddin akhirnya dikompaun RM1,500 langgar SOP

Selepas dua minggu gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) paling asas dalam mencegah penularan Covid-19, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman akhirnya dikenakan kompaun RM1,500.

Bekas Pengerusi Prasarana Berhad (Prasarana) itu dikenakan tindakan sedemikian kerana gagal memakai pelitup muka semasa mengadakan sidang media berkaitan kemalangan tren LRT di stesen KLCC, pada 25 Mei lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, kesalahan dilakukan di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Tawaran kompaun sebanyak RM1,500 akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tajuddin yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak dan bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu pernah dijangkiti Covid-19 pada Januari lalu.

Dia yang hanya memakai pelindung muka pada sidang media 25 Mei lalu kemudiannya ditamatkan daripada jawatan Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana keesokan harinya oleh Menteri Kewangan.