Malaysia Dateline

Selepas dua tahun dikambus, JASA mungkin hidup semula

Tokoh wartawan veteran, Datuk Abdul Kadir Jasin, memberikan gambaran kemungkinan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) akan diwujudkan kembali.

Menurut bekas Penasihat Komunikasi dan Media kepada Perdana Menteri itu, badan kerajaan tersebut merupakan jelmaan ketika kerajaan BN sebelum Putrajaya diambil alih Pakatan Harapan (PH).

“Jabatan Hal Ehwal Khas aka Jasa dihidupkan semula? Ini adalah jelmaan Umno di KKMM (Kementerian Komunikasi dan Multimedia).

“Ia dibatalkan oleh Kerajaan PH,” katanya dipetik dari Facebook beliau hari ini.

Pada 23 Mei 2018, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan pembubaran JASA selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet pertama di Putrajaya.

Pada masa itu, JASA memiliki 272 kakitangan, dengan 127 daripadanya berstatus lantikan kontrak.

Turut dibubarkan Majlis Profesor Negara (MPN), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP).

Dr Mahathir berkata, pembubaran JASA, MPN dan JKKP kerana wujud unsur politik, manakala SPAD akan diambil alih oleh Kementerian Pengangkutan.