Malaysia Dateline

Selepas dua tahun, wawasan Izham mula menampakkan hasilnya

Dua tahun lalu, Ir Izham Hashim hanya boleh bercakap sahaja tentang cita-cita dan wawasan beliau tentang pertanian di Selangor, menggunakan teknologi tinggi (high tech) dan memberikan hasil yang lumayan (high impact).

Hari ini, cita-cita dan wawasan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor itu mula menunjukkan hasilnya melalui Selangor Fruits Valley (SFV), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, badan yang dimiliki kerajaan negeri Selangor.

Izham melihat bagaimana madu kelulut dihasilkan di kawasan pokok Acacia yang bakal menjadi produk utama SFV nanti.

Izham hari ini melawat sendiri bagaimana madu kelulut dihasilkan, penanaman gold melon dan penaman sayur secara fertigasi yang menggunakan teknologi tinggi bagi menghasilkan impak maksima.

Beliau juga melawat penanaman anggur di SFV, tanaman yang sering dikaitkan dengan tanah tinggi dan kawasan sejuk tetapi kini ditanam di tanah rendah dengan cuaca panas pula.

Izham melihat sendiri bagaimana penanaman anggur yang dihasilkan dari idea beliau itu sudah mula berbuah dan bakal boleh dipetik dalam masa sebulan sahaja lagi.

Izham juga melihat buah gold melon yang sedang membesar yang kumpulan pertamanya bakal dituai sebulan lagi.

“Wawasan saya untuk Selangor adalah high technology dan high impact sesuai dengan kedudukan tanah di Selangor yang terhad dan mahal nilainya,” kata Izham kepada Malaysia Dateline dua tahun lalu selepas beliau dilantik sebagai Exco kerajaan negeri Selangor.

Izham melihat penanaman gold melon yang menggunakan sistem fertigasi. Buah ini bakal matang sebulan lagi.

Hari ini Izham dengan ditemani oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKPS yang bakal bersaran, Haji Tamby Omar bin Mohamed menghabiskan masa lebih tiga jam di SFV, pusat penanaman buah-buahan yang kini menjadi zon pelancongan yang menarik perhatian ramai di Selangor.

Bermula dengan perbincangan dengan para penternak kelulut untuk madu, Izham melawat satu persatu projek yang beliau sendiri ilhamkan itu.

“Saya diberitahu madu kelulut keluaran SFV sangat digemari oleh peminat madu di negeri ini. Kerajaan negeri akan membantu industri ini bagi menjadikan SFV pengeluar madu kelulut asli yang diiktiraf,” kata Izham semasa berdialog dengan penternak madu kelulut di SFV itu.

Selain high tech dan high impact, kerajaan negeri Selangor juga sangat mengambil berat soal keselamatan makanan (food security), kata Izham.

“Kita akan mengadakan satu bengkel khas hujung minggu ini bagi membincangkan food security ini,” kata Izham kepada pegawai kanan PKPS yang turut hadir di program itu.

SFV adalah sebuah ladang buah-buahan tropika yang berkeluasan 646 hektar. Sebelum ini, tanaman yang menjadi pilihan adalah seperti buah belimbing, jambu batu, rambutan, pulasan, betik dan sebagainya.

Kini, melalui Izham, SFV dikembangkan lagi dengan menggunakan teknologi pertanian terkini dan terkenal dengan agro tourism.

Ladang ini diwujudkan bagi menyahut hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk memodenkan sektor pertanian selaras dengan visi dan misi PKPS.

Melalui pembangunan SFV ini, ia akan dapat menjadikan kawasan tersebut lebih berdaya maju serta komersil di samping menjana industri pertanian dan asas tani negeri Selangor.