Malaysia Dateline

Selepas empat tahun tembak majikan, pengawal peribadi dihukum gantung

Selepas empat tahun membunuh majikannya yang juga ahli perniagaan, Datuk Ong Teik Kwong, 32, seorang pengawal peribadi dihukum gantung oleh Mahkamah Tinggi di Georgetown hari ini.

Selain Teik Kwong, tertuduh, Ja’afar Halim, turut bersalah menembak menggunakan senjata api terhadap dua individu lagi, Choi Hoi Ming. 32, dan Senthil Murugiah, 38.

Suspek itu mengamuk sebelum menembak mati ketiga-tiga individu terbabit di susur masuk ke Jambatan Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu kira-kira jam 7.30 malam pada 1 Disember 2016.

Bagi setiap kesalahan itu, Ja’afar didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Selain tiga kematian itu, empat lagi orang awam turut cedera terkena tembakan dilepaskan tertuduh.

Antara yang cedera adalah jurukamera sambilan RTM Pulau Pinang, Mohamad Amirul Amin Amir, 27, yang terkena satu das tembakan pada bahu kiri.

Turut terkena tembakan seorang kakitangan wanita Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bayan Baru, dikenali sebagai Nurul Huda.