Malaysia Dateline

Selepas enam bulan sebar berita palsu, suri rumah akhirnya didenda RM5,000

Akibat menyebarkan berita palsu tentang penularan jangkitan Covid-19 menerusi aplikasi media sosial di Arau, April lalu, seorang suri rumah didenda RM5,000 di Mahkamah Sesyen, di Kangar selepas mengaku bersalah.

Tertuduh, Nor Sakinah Razelan, 31, yang berasal dari Chuping membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan status WhatApp melalui nombor talian yang didaftarkan kepada tertuduh dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam dengan menyebarkan berita tidak benar di Kampung Belukar, Arau jam 10.31 pagi pada 18 April lalu.

Susulan itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis pada 20 April membuat laporan polis berhubung penularan berita yang mendakwa sembilan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka disahkan positif Covid-19.

Penularan maklumat yang tidak benar itu mengundang rasa panik terhadap ibu bapa dan pelajar di sekolah seluruh negeri.

Ekoran itu, tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya dan dalam hal suatu kesalahan berterusan, tertuduh boleh didenda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pengarah Pendakwaan Perlis, Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hapiz Rajali dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mohd Nordin memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat di luar sana.

Sementara itu, Mohd Hapiz merayu kepada mahkamah agar dapat mempertimbangkan satu hukuman denda memandangkan anak kedua tertuduh berusia tujuh tahun mempunyai penyakit buah pinggang yang memerlukan perhatian serius daripada tertuduh.

Selain itu, anak yang lain masih bersekolah manakala suaminya hanya bekerja sebagai buruh.

Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman denda sebanyak RM5,000 kepada tertuduh dan tertuduh juga boleh dipenjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh mengambil keputusan untuk membayar denda dengan ditemani suaminya.