Malaysia Dateline

Selepas enam hari tiba di KLIA, dua beradik dari China dikuarantin di Langkawi

Akibat mengalami simptom yang disyaki wabak Novel Coronavirus (nCoV), dua kanak-kanak perempuan dari China dikuarantin di Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi, pada 1 tengah hari tadi.

Mereka yang berusia empat dan dua tahun itu difahamkan bersama ibu bapa melancong ke Langkawi sejak 24 Januari lalu.

Pengarah HSM Dr Mansor Ismail memberitahu, pihaknya sedang membuat pemeriksaan lanjut berdasarkan simptom dan sejarah perjalanan mereka sebelum tiba di Langkawi.

“Setakat ini, dua kanak-kanak perempuan itu cuma disyaki sahaja dan kita sedang membuat pemeriksaan lanjut terhadap simptom yang ada pada mereka.

“Ibu bapa mereka bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang tanda berkaitan wabak nCoV,” lapor Harian Metro.

Mansor berkata, keluarga itu berasal dari Guangdong, China memasuki negara menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 20 Januari lalu, sebelum mengambil penerbangan berikutnya ke Langkawi empat hari selepas itu.

Katanya, dua beradik terbabit kemudian menunjukkan tanda kurang sihat ketika berada di Langkawi dengan demam, selesema dan batuk.

Simptom itu bersifat umum namun, pemeriksaan lanjut perlu dibuat mengikut prosedur ditetapkan kerana mereka dari China yang kini dilanda wabak nCoV.

Beliau memaklumkan sampel keluarga berkenaan turut dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk penilaian lanjut.

Dalam pada itu, beliau meminta penduduk dan pelancong di Langkawi untuk tidak bimbang kerana pesakit hanya disyaki dan belum disahkan pembawa nCoV.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan, tiga kes jangkitan coronavirus 2019-nCoV di negara ini, membabitkan pelancong warga China yang juga ahli keluarga kes positif yang dikesan di Singapura.

Ketiga-tiganya yang kini dalam kuarantin dan rawatan di Hospital Sungai Buloh terdiri daripada isteri dan dua cucu kepada lelaki berusia 66 tahun, yang menjadi kes pertama di republik itu.