Malaysia Dateline

Selepas enam tahun liwat murid, bekas guru pelatih akhirnya dipenjara dengan dua sebatan

Selepas enam tahun meliwat murid tahun enam ketika itu, seorang bekas guru pelatih akhirnya dipenjara enam tahun dengan dua sebatan.

Hukuman ke atas Mohamad Harman Faiz Hassin, 30, itu selepas dia gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di Putrajaya, untuk mengetepikan sabitan atas kesalahan itu pada 2016.

Harman melakukan kesalahan liwat itu di sebuah bilik di asrama institut perguruan di Besut, Terengganu pada kira-kira jam 1 tengah hari 17 September 2016.

Dia yang kemudiannya dibebaskan berserta ikat jamin RM22,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya selesai, turut diperintah disebat dua kali.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said sebulat suara menolak rayuan Mohamad Harman terhadap sabitan kesalahan liwat dilakukannya.

Kamaludin berkata, Mahkamah Sesyen membuat dapatan yang betul berdasarkan bukti dan sabitan Harman bagi kesalahan itu adalah selamat.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan rayuan Harman supaya hukuman penjaranya dikurangkan daripada 10 tahun kepada enam tahun, dipetik Bernama.

Dalam keputusan mahkamah, Kamaludin berkata, mahkamah bersetuju mengurangkan hukuman penjara terhadap Harman memandangkan perayu masih muda ketika melakukan kesalahan itu dan juga kesalahan pertama.

Menurutnya, penjara enam tahun itu juga akan mengambil kira tempoh Harman menjalani hukuman penjara sebelum dia diberi jaminan oleh Mahkamah Tinggi sementara menunggu rayuannya diselesaikan.

Panel hakim membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Hakim Mahkamah Tinggi, Azizul Azmi Adnan, turut mengetepikan perintah Mahkamah Sesyen supaya Harman menjalani pengawasan polis selama dua tahun selepas dia selesai menjalani hukuman penjara.

Pada 5 Mac 2019, Mahkamah Sesyen mendapati Mohamad Harman bersalah atas tuduhan meliwat murid lelaki berusia 12 tahun ketika itu dan menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun serta enam sebatan.

Dia gagal dalam rayuannya terhadap sabitan di Mahkamah Tinggi tetapi hukumannya dikurangkan kepada 10 tahun penjara dan dua sebatan. Harman kemudiannya memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Baca juga Ada nenek hilang RM1 juta, ramai tertipu panggilan LHDN dan polis, ini 5 kes mangsa Macau Scam

Baca juga Warga China makin kurang beranak, Covid-19 jadi punca