Malaysia Dateline

Selepas enam tahun tidak bertemu, abang akhirnya terima jenazah adik

Selepas enam tahun tidak bertemu, seorang abang akhirnya hanya menerima jenazah adik perempuannya yang maut dalam kemalangan jalan raya awal pagi semalam.

Syaharuddin Arshad, 34, abang sulung kepada Nuratika, 27, berkata, dia memang mencari adik perempuannya itu dalam tempoh lama tetapi gagal menemui Allahyarham.

Menurutnya, kali terakhir mereka yang berasal dari Semporna, Sabah bertemu pada 2016 dan selepas itu arwah dan suaminya tidak dapat dihubungi.

Beliau memberitahu, enam daripada 10 beradik termasuk arwah merantau ke Semenanjung.

“Kami sudah lama mencari arwah termasuk membuat hebahan di media sosial pada 2017 tetapi tiada maklumat diperolehi sehingga kami mendapat berita mengenai kemalangan ini yang tular di laman Facebook,” dipetik BH.

Jelasnya, Nuratika mempunyai empat orang anak berusia tiga hingga lapan tahun, malah kejadian itu turut mengorbankan kandungan adiknya yang berusia enam bulan.

“Jenazah adik dan anak saudara akan dibawa pulang ke Sabah untuk dikebumikan selepas proses bedah siasat dan hal berkaitan di sini selesai,” kata Syaharuddin lagi.