Malaysia Dateline

Selepas hampir sebulan krisis air di Terengganu, menteri umum buat lawatan

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan akan bertolak ke Pantai Timur untuk lawatan kerja dua hari di Terengganu dan Kelantan.

Timbalan Presiden Pas itu berkata beliau akan memberi tumpuan terhadap projek di beberapa Loji Rawatan Air (LRA) di kedua-dua negeri itu.

“Perkara yang akan difokuskan ialah masalah bekalan air di beberapa daerah Terengganu, pemantauan projek di LRA Bukit Berapit, Kuala Nerus dan LRA Kg Telok, Kota Bharu,” katanya di Twitter rasminya hari ini.

Pengumuman Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian itu sejurus hampir sebulan penduduk di Kuala Nerus dan sebahagian Kuala Terengganu mengalami gangguan bekalan air.

Sementara itu, Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah hari ini berkata, pengguna akaun Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) berdepan krisis bekalan air pada 3 hingga 13 Ogos lalu dan sekali lagi berlaku bermula 23 Ogos hingga sekarang.

Sehubungan itu, pihaknya, kata Raja Kamarul bersedia menawarkan khidmat guaman kepada mana-mana penduduk yang terjejas akibat gangguan bekalan air tersebut.

Dalam masa sama, pengumuman Tuan Ibrahim berhubung lawatan ke Terengganu itu turut mengundang kecaman warganet.

“Menteri KASA baru umum nak bertolak ke sana buat-buat ambil tahu.

“Bukan sebelum ini pegang portfolio lain pun. Tak payah tunggu angkat sumpah dah boleh pergi sana.

“Menteri sampah dikitar semula. Inilah hasilnya,” cemuh seorang pengguna Twitter hari ini.