Malaysia Dateline

Selepas hanya sejam di pasar Wuhan, WHO gagal kesan punca Covid-19

Walaupun Covid-19 setakat ini menjangkiti lebih 107,000,000 mangsa di seluruh dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih gagal mengenal pasti jenis haiwan yang menjadi punca jangkitan coronavirus itu.

Pasukan misi siasatan WHO ke China untuk mengesan asal-usul Covid-19 tersebut dilapor hanya menghabiskan masa sejam di pasar makanan laut Wuhan, di mana kluster pertama jangkitan besar-besaran dilaporkan lebih setahun lalu.

Mereka juga dilihat menghabiskan beberapa hari di dalam hotel, dengan hanya menerima lawatan pelbagai pegawai kanan China, tanpa meninggalkan bandar penginapan mereka.

Bagaimanapun, penyelidikan lebih mendalam dilakukan di Institut Virologi Wuhan (WIV) di mana mereka menghabiskan hampir empat jam.

Di sana, mereka turut menemui saintis China termasuk Shi Zhengli, salah seorang pakar coronavirus menjangkiti kelawar merangkap timbalan pengarah WIV.

Misi siasatan WHO ke China sebelum ini mencetuskan banyak isu diplomatik sebelum ia bermula lagi.

Pakar percaya virus yang telah mengorbankan lebih 2.3 juta nyawa di 219 negara di seluruh dunia itu berasal daripada kelawar dan mungkin dipindahkan kepada manusia menerusi mamalia lain.

Menurut ketua pasukan penyiasat China, Liang Wannian, walaupun jangkitan dipercayai berpunca daripada binatang, hos asal belum dapat dikenal pasti.

“Kajian menunjukkan virus ini boleh dibawa ke lokasi yang jauh jika berada pada produk sejuk beku, menunjukkan kemungkinan virus ini mungkin diimport, satu teori yang makin kerap dibangkitkan di China sejak kebelakangan ini.

“Pada masa sama, tiada petanda bahawa penyakit akibat Covid-19 sudah menular di Wuhan sebelum Disember 2019, apabila kes rasmi pertama dilaporkan,” lapor AFP.

Pakar asing WHO, Peter Ben Embarak, yang pernah bertugas di WHO Beijing selama dua tahun bermula 2009, menyokong dapatan itu dengan menyatakan tiada ‘penularan besar wabak’ di Wuhan sebelum akhir 2019.

Sebelum ini, Amerika Syarikat (AS) menuntut siasatan terperinci dan menuduh China cuba menyembunyikan bukti awal pandemik.

Sementara itu, China menuduh AS cuba mempolitikkan siasatan WHO dan banyak berahsia serta mengenakan pelbagai halangan terhadap usaha antarabangsa bagi melakukan siasatan.

Sepanjang misi siasatan yang diawasi rapi itu, media dilarang menemui anggota pasukan siasatan dan hasil dapatan mereka hanya dikongsi melalui Twitter atau temu bual tertentu.

Sebelum ini, bekas Presiden AS, Donald Trump, beberapa kali mengulangi teori kontroversi beliau mengatakan virus itu mungkin bocor dari institut virologi itu.

Saintis di WIV melakukan penyelidikan terhadap beberapa penyakit paling berbahaya di dunia termasuk varian coronavirus kelawar yang mirip kepada Covid-19.

Beijing terdesak untuk mematahkan kritikan mengenai caranya mengendalikan kekecohan peringkat awal dalam menangani wabak itu.

Kini, ia menumpukan perhatian di negara sendiri dan luar negara berhubung cara menangani dan pemulihan daripada pandemik itu.