Malaysia Dateline

Selepas hilang empat kerusi DUN, Pengerusi DAP Melaka letak jawatan

Selepas DAP gagal mempertahankan separuh daripada lapan kerusi ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam, Pengerusi DAP Melaka, Tey Kok Kiew hari ini mengumumkan meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Tey, 49, yang juga kalah di kerusi DUN Bemban dalam pertandingan lima penjuru turut memohon maaf dan mengambil tangungjawab ke atas kegagalan PH membentuk kerajaan negeri.

“Kita bukan sahaja gagal membentuk kerajaan negeri yang baru, malah lapan kerusi yang kita menangi pada pilihan raya umum 2018 telah berkurangan kepada empat.

“Ini adalah keputusan peribadi saya. Saya ingin memohon maaf kepada ahli DAP, rakan sekutu PH dan penyokong kami kerana gagal mencapai sasaran kami,” katanya dalam sidang medianya hari ini.

Semalam, DAP cuma mampu mempertahankan empat kerusi DUN iaitu Kota Laksamana, Kesidang, Bandar Hilir dan Ayer Keroh.

“Sebagai ketua negeri, saya mesti bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keputusan pilihan raya negeri.

“Saya dengan ini mengumumkan bahawa saya meletakkan jawatan sebagai ketua negeri, berkuat kuasa serta-merta,” kata Tey lagi yang masih kekal sebagai ahli DAP.