Malaysia Dateline

Selepas Husam letak jawatan, AMANAH Kelantan cadang Cikgu Rahim ganti

Ekoran peletakan jawatan Husam Musa sebagai Pakatan Harapan (PH) Kelantan, AMANAH negeri mencadangkan bekas pengerusinya, Wan Abd Rahim Wan Abdullah atau dikenali Cikgu Rahim dilantik sebagai pengganti.

Menurut Pengerusi AMANAH Kelantan, syor tersebut akan dimuktamadkan oleh pimpinan PH pusat selepas dipersetujui oleh pimpinan AMANAH Nasional.

“Kita melihat cadangan ini adalah pilihan terbaik yang kita ada berdasarkan pengalaman dan kredibiliti Wan Abd Rahim,” dipetik Malaysiakini.

Terdahulu Husam yang juga Ahli Dewan Negara melepaskan jawatan Pengerusi PH Kelantan, Naib Presiden AMANAH dan Bendahari PH.

Susulan itu juga bekas Adun Salor itu kini dilihat mula mengatur langkah tersendiri dalam meneruskan kerjaya politiknya khususnya sebagai Ketua AMANAH Kawasan Kota Bharu.

Ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan AMANAH Kubang Kerian pada 19 September lalu, Husam berkata, beliau telah memberikan amaran mengenai kejatuhan kerajaan PH seawal April tahun lalu lagi.

“Saya telah memberikan pandangan kepada pimpinan tertinggi AMANAH bahawa kerajaan PH akan tumbang seawal bulan April 2019. Boleh tanyalah pimpinan (AMANAH).

“Saya tidak boleh namakan dia pada hari ini. Bulan Julai 2019, sekali lagi saya jumpa mereka, saya nyatakan pandangan saya, kerajaan tuan-tuan akan tumbang.

“Tolonglah sebagai menteri tuan-tuan buat sesuatu yang rakyat suka macam tindakan Erdogan di Turki dan jangan tersilap langkah macam Morsi di Mesir,” luah Husam.

Husam dalam ucapannya turut menyentuh mengenai soal rakyat hilang percaya kepada pimpinan kerajaan PH, walaupun tidak menyebut nama secara langsung, dipercayai kritikan itu ditujukan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya suka berfikir secara praktikal. Saya lebih sayang Tun (Dr Mahathir) lagi kalau kira. Kerana orang lain kenal rapat dengan Tun lepas saya rapat dengan dia,” katanya.

Menjelaskan lanjut, Husam berkata mandat rakyat pada PRU14 lalu ialah Dr Mahathir akan menjadi perdana menteri dan menyerahkan jawatan itu kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim kemudian.

“Suka tak suka, kitab tak kitab suci, manifesto kita kita telah berjanji. Sebagai seorang pemimpin kita tidak boleh kata masa kita buat dulu saya tak sedar diri, lepas menang baru saya tahu, tak boleh macam itu. Sedaya-upaya kita kena usahakan.

“Bila kita kata manifesto kita ini bukan kitab suci, kita tak terikat dengan manifesto, itu antara permulaan hilangnya kepercayaan rakyat kepada kerajaan PH.

“Bila mari pilihan raya kecil pengundi ajar, mari pilihan raya kecil pengundi ajar, mari pilihan raya kecil pengundi ajar. Tak sedar lagikah?” soal Husam dalam ucapannya itu.