Malaysia Dateline

“Selepas ini ada tabika daif, bocor atap, bolos lantai”

Kewujudan Tabika Elit sebagaimana yang dicadangkan Timbalan Menteri I di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), YB Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad akan menyebabkan pemisahan jenis baharu iaitu antara dua darjat (class divide), antara kaya dengan yang miskin.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, dengan mengutamakan sumber pendidikan kepada golongan elit sedangkan tabika lain rata-ratanya akan kekal di takuk lama serta mengakibatkan jurang antara miskin dan kaya semakin melebar.

Katanya lagi, polisi seperti ini akan membuatkan situasi sosial semasa bertambah parah dengan faktor-faktor penting yang perlu diberikan perhatian.

“Adakah menjadi tugas kerajaan untuk memberi subsidi kepada si kaya dan memberi tabika tidak cukup sifat kepada si miskin?

“Dari manakah datangnya sumber untuk membina Tabika Elit ini?” soalnya.

Shazni berkata, jika sumber daripada wang pembayar cukai, bermaksud ada tabika yang akan dipotong bajetnya untuk menampung subsidi kepada golongan kaya.

“Kalau sekarang kita ada sekolah elit dan sekolah daif, adakah selepas ini kita akan ada tabika daif yang bocor atapnya dan bolos lantainya?’

“Adakah kita tidak cukup lagi rangkaian tadika swasta elit seperti rangkaian Montessori dan lain-lain?” soalnya lagi.

Justeru katanya, kerajaan tidak perlu berniaga sebaliknya tumpukan sahaja kepada perkhidmatan awam dan serahkan sahaja perniagaan kepada rakyat.

“Cukup-cukuplah kegagalan perniagaan kerajaan yang bertimpa-timpa seperti Bank Bumiputera, Malaysia Airlines, Proton dan 1MDB,” ujarnya.

Jika ibu bapa mempunyai sumber tambahan, katanya mereka boleh menyumbang ke arah menaik taraf kualiti kemudahan mana-mana Tabika atau sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan kerjasama awam swasta.

Beliau menyeru agar rakyat terus mengingatkan kerajaan terutamanya KPLB agar mengutamakan misinya untuk membawa pembangunan kepada masyarakat luar bandar, bukannya berniaga untuk kepentingan ibu bapa yang kaya sahaja.

Terdahulu, kerajaan melalui KPLB berhasrat mewujudkan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) ‘elit’ buat kanak- kanak berusia empat hinga enam tahun, dengan kurikulum yang lebih baik.

Bagaimanapun ia menyasarkan kanak-kanak dengan ibu bapa yang memiliki “keupayaan kewangan yang tinggi”.

Abdul Rahman Mohamad berkata, kertas cadangan buat “Tabika elit’ sedang diperincikan dan akan dibentang dalam mesyuarat Kabinet.