Malaysia Dateline

Selepas Jamal tinggalkan MN, Ummi Nazeera pun sama ucap selamat tinggal

Tidak sampai seminggu Presiden Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa mengumumkan senarai 30 individu yang dilantik sebagai Ahli Dewan Tertinggi pertubuhan itu, seorang demi seorang umum tarik diri.

Terbaharu, pelakon Ummi Nazeera, 32, yang memberitahu pengundurannya daripada MN selepas mengambil kira kegusaran peminat selain mahu terus memberi tumpuan dalam kerjaya lakonan.

Keputusan Ummi atau nama sebenar, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin untuk menarik diri daripada MN menuruti jejak langkah Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah, 63.

Menerusi hantaran di Instagram (IG), Ummi berkata, dia akan terus fokus berkarya dalam industri seni dan keluarganya.

“Terima kasih atas kesudian MN melantik Ummi dan selamat maju jaya kepada mereka sebagai sebuah NGO.

“Terima kasih atas sokongan dan keprihatinan semua,” kata ibu kepada seorang anak perempuan itu.

Sebelum ini, pelakon filem Kerana Korona berkenaan dilantik oleh Tan Sri Annuar Musa sebagai Ahli Dewan Tertinggi MN bersama 30 individu lain termasuk penyanyi Datuk Jamal Abdillah dan pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof.

Terdahulu, Jamal yang popular dengan lagu Sepi Seorang Perindu itu mengumumkan pengundurannya daripada MN disebabkan prinsip dirinya tidak sesuai untuk terbabit dengan pertubuhan sebegitu.

Untuk rekod, walaupun MN ditegaskan oleh Annuar sebagai NGO berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) dan bukanlah parti politik, tetapi sebahagian individu yang menyertai MN dan dilantik Ahli Dewan Tertinggi adalah ahli politik.

Mereka adalah Tan Sri Noh Omar (Ketua Bahagian Umno Bahagian Tanjong Karang) dan Datuk Zuraida Kamaruddin (ahli Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Turut dilantik sebagai Ahli Dewan Tertinggi adalah bekas menteri kabinet dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Md Redzuan Mat Yusof dan ahli PBM, Datuk Seri Dr Edmund Santhara Kumar Ramanaidu.

Baca juga ‘Geng tebuk atap sebenarnya yang tidak bebas’ – Rafizi selar PN isu MoU gabungan Kerajaan Perpaduan