Malaysia Dateline

Selepas janji surat sokongan, Wan Fayhsal cadang bank hapus hutang B40

Setelah berjanji akan keluarkan surat sokongan kepada ahli-ahlinya jika menang jawatan Ketua Pemuda, Wan Ahmad Fayhsal membuat satu lagi cadangan besar, iaitu menggesa bank untuk menghapuskan hutang secara bersasar, khasnya kepada kumpulan berpendapatan rendah (B40).

Lapor FMT, Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata, cadangan tersebut bukanlah tidak munasabah, malahan adil kepada pihak bank.

Namun jika cadangan itu tidak dapat dilakukan, beliau berkata, bank sekurang-kurangnya perlu berhenti mengutip bayaran faedah untuk pinjaman atau melanjutkan moratorium pinjaman tanpa faedah.

“Ini bukannya tidak munasabah dan saya rasa ia masih adil kepada bank serta tidak akan memberi kejutan kepada sistem.

“Kita berada dalam waktu susah dan bank menjana keuntungan besar selama beberapa tahun, jadi penghapusan hutang paling sesuai.

“Tetapi, kita memahami bukan semua orang memerlukan penghapusan hutang, jadi ia harus dilakukan secara bersasar dan berperingkat,” katanya memetik FMT sambil menambah itu antara cadangan sayap itu untuk Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan esok.

Pada masa sama Fayhsal berkata, gesaan untuk bank menghapuskan bayaran faedah dan hutang bukan perkara baru kerana cadangan sama turut dibangkitkan di negara lain.

Katanya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi yang memiliki saham di bank mempunyai kewajipan sosial terhadap rakyat dan mereka perlu membuat pengorbanan.

Tambahnya lagi, moratorium pinjaman patut dilaksanakan tanpa had masa untuk mereka yang masih menganggur.

“Bank boleh mengutip bayaran semula selepas peminjam mendapat pekerjaan,” katanya lagi.