Malaysia Dateline

Selepas jet Israel, 16 pesawat China pula dikesan memasuki udara Malaysia

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memaklumkan telah mengesan penerbangan mencurigakan sebanyak 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR).

TUDM dalam satu kenyataannya berkata, pesawat People’s Liberation Army- Air Force (PLAAF) itu dikesan menghampiri ruang udara nasional pada 31 Mei 2021.

Penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53.

“Pesawat- pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain.

“Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar.

“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata kenyataan itu lagi, hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM mengenalpasti pesawat-pesawat tersebut adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20.

Pesawat jenis ini katanya, merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi.

Jelasnya, insiden ini merupakan perkara yang serius terhadap ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan berdasarkan kepadatan trafik udara di dalam laluan penerbangan (Airways) di dalam Kota Kinabalu FIR.

“Pesawat ini dikesan terbang pada ketinggian diantara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu FIR dan seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.

“Pihak TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan di dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.

“Pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat-pesawat tersebut disamping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara KK FIR,” katanya lagi.

Bagaimanapun kenyataan itu memaklumkan, Kementerian Luar Negeri telah mengambil maklum tentang perkara ini melalui Kementerian Pertahanan.