Selepas kaki, tangan pelajar tahfiz terpaksa dipotong

Selepas kaki, tangan pelajar tahfiz terpaksa dipotong

Mohd Thaqif Amin Mohd Gadaffi, 11, dijadual menjalani pembedahan untuk memotong tangan kanannya di Hospital Sultan Ismail di sini pagi ini.

Ibu saudaranya Dzuraidah Ahmad, 38, ketika dihubungi berkata langkah itu dibuat setelah didapati keadaan tangannya itu yang dijangkiti kuman dari jari hingga bawah paras siku semakin membimbangkan.

“Mohamad Thaqif Amin dijadualkan menjalani pembedahan 8 pagi ini. Doktor ada maklumkan yang penting ialah nyawanya. Jadi kita ikut pada kata doktor walaupun usaha telah dilakukan sedaya upaya untuk menyelamatkan tangannya untuk tidak dipotong,” katanya.

Thaqif yang didaftar masuk ke sebuah pusat tahfiz swasta di Kota Tinggi pada 27 Januari lalu dilaporkan dilaporkan mengalami kesakitan pada bahagian kaki sejak dua minggu lepas akibat dipukul pembantu warden.

Kedua-dua kakinya yang dijangkiti kuman serta darah beku kemudiannya terpaksa dipotong dan keadaan Thaqif semakin membimbangkan selepas doktor mengesan darah beku di lengan kirinya, semalam.

Susulan itu, seorang pembantu warden direman empat hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.