Malaysia Dateline

Selepas Kelantan tolak Sinovac, adakah negeri lain boleh pilih vaksin?

DAP menuntut kerajaan Persekutuan dan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) segera membuat penjelasan rasmi berhubung kekeliruan mengenai penggunaan Sinovac dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, kegagalan berbuat demikian hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap satu-satunya program yang menunjukkan kemajuan yang terhad oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Ini memandangkan kenyataan Menteri PN Khairy Jamaluddin dan Dr Adham Baba bahawa Sinovac tidak akan lagi menjadi sebabagian dari peluncuran vaksinasi Covid-19 dan baki vaksin Sinovac akan disediakan untuk mereka yang menyelesaikan dos kedua.

“Selain itu, ada surat rasmi yang ditandatangani oleh Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin yang menyatakan hasrat negeri untuk membuang vaksin Sinovac dan pergi bersama Pfeizer di semua pusat vaksinasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, bekalan vaksin Sinovac kepada Kelantan akan ditamatkan pada akhir Julai dan akan digantikan dengan vaksin Pfizer.

Menerusi notis pemberitahuan 13 Julai lalu, serentak itu semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kelantan hanya akan dibekal dengan dos kedua vaksin Sinovac, mulai 18 Julai ini dan tiada lagi bekalan Sinovac untuk dos pertama mulai tarikh tersebut.

Mengulas lanjut, Guan Eng mengingatkan kerajaan harus memberi penjelasan berdasarkan fakta dan sains dan bagi menghilangkan keraguan dan kekeliruan yang timbul berhubung keberkesanan Sinovac dibandingkan dengan vaksin mRna seperti dibangkitkan oleh beberapa kajian di Hong Kong dan Chile.

“Tanpa penjelasan yang tepat berdasarkan sains dan data akan menimbulkan keraguan yang akan mempengaruhi keyakinan rakyat bukan hanya pada vaksin Sinovac, tetapi juga seluruh PICK.

“Apakah ini bererti semua kerajaan negeri sekarang diberi autonomi dan pilihan untuk memilih vaksin yang akan mereka berikan?

“Sekiranya pilihan seperti itu diberikan, apakah itu juga akan diperluas ke negeri-negeri lain atau hanya satu negeri diberi layanan istimewa daripada yang lain?

“Sekiranya ini dibolehkan, ia akan memberi kesan yang besar kepada PICK kerana aliran vaksin yang tidak sama ke negeri-negeri berlainan serta meluaskan ketidaksamaan vaksin di negara kita sendiri,” tegas Guan Eng.

Ahli Parlimen Bagan itu juga berkata kerajaan juga perlu mengatasi keraguan yang semakin meningkat agar tidak terpengaruh dalam konflik geopolitik antara negara-negara kuasa besar yang diterjemahkan sebagai pengurangan vaksin dari China walaupun telah mendapat persetujuan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

“Walaupun DAP menyokong penuh PICK, harus ada komunikasi yang tepat dan jelas mengenai hala tuju.

“Jika tidak, ini akan menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat termasuk mereka yang telah mengambil vaksin Sinovac.

“Semua Menteri PN, terutama Dr Adham Baba dengan reputasi antarabangsa mengenai pernyataan tidak masuk akal, tidak hanya harus menyelesaikan kekeliruan dan keraguan yang timbul, tetapi juga berhati-hati ketika mengumumkan polisi baharu

“Mengganti kebingungan dengan kejelasan. Kepastian dan ketekalan adalah jalan maju untuk melindungi integriti dan menjamin kejayaan PICK,” tambah Guan Eng lagi.