Malaysia Dateline

Selepas kerajaan PN tidak tumbang, Abdul Hadi bercerita tentang Fathu Makkah

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini bercerita tentang Fathu Makkah yang bermaksud pembebasan Makkah daripada kuasa jahiliah.

Ahli Parlimen Marang yang juga pernah sepenggal menjadi Menteri Besar Terengganu 1999 hingga 2004 itu berkongsikan sembilan imej grafik bertajuk “Di sebalik Kejayaan Fathu Makkah” di Facebook rasmi beliau.

“Apakah yang terdapat di sebalik Fathul Makkah? Apakah hasil yang dituai oleh Rasulullah SAW dalam peristiwa pembebasan Kota Makkah daripada musyrikin Makkah?

“Peristiwa Fathul Makkah ini telah membawa banyak impak yang besar kepada sejarah manusia secara amnya dan umat Islam secara khususnya,” katanya.

Fathu Makkah berlaku pada 20 Ramadan Tahun ke-8 Hijrah, bersamaan 10 Januari tahun 630 Masihi.

Perkongsian Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri itu berlaku selepas pembangkang gagal menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kelmarin semasa undian Belanjawan 2021.

Menerusi grafik dikongsikan, Abdul Hadi antara lain berkata Fathu Makkah menggerakkan umat Islam supaya meneruskan perjuangan Islam yang bersifat universal.

Selain itu, katanya, Fathu Makkah memerdekakan manusia daripada belenggu ketakutan, kezaliman dan kejahilan selain memberikan hak dan keadilan kepada semua umat manusia.

“Fathu Makkah membatalkan sangkaan buruk yang ditiup syaitan ke dalam hati orang yang beriman kepada Allah,” kata bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia itu lagi.