Malaysia Dateline

Selepas kes Najib: Umno bakal pecah dua, kata penganalisis UiTM

Hubungan antara dua kumpulan dalam Umno dijangka semakin tajam ekoran keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang menjatuhkan hukuman bersalah ke atas semua tujuh pertuduhan kes SRC International ke atas Datuk Seri Najib Razak.

Penganalisis politik dari UiTM, Mujibur Abdul Muis berkata, hubungan dua kumpulan itu iaitu penyokong Perikatan Nasional (PN) dan penyokong agar Umno bersama Pas sahaja melalui Muafakat Nasional (MN) menghadapi pilihan raya umum akan menjadi lebih tajam.

MUJIBUR ABD MUIS

“Hala tuju PN dan MN akan terkesan dengan keputusan kes ini. Ia akan tajamkan lagi perpecahan dalam Umno. 2 kumpulan dalam Umno, yang sokong PN dan yang mahu Umno pergi sendiri dalam pilihan raya,” kata Mujibur dalam ulasan di Astro Awani berikutan keputusan kes Najib.

Mujibur yakin, PH akan guna isu ini untuk menyerang PN dan MN.

Sebelum ini, Umno telah berpecah dua apabila sebilangan pemimpinnya lari meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu manakala yang lain kekal bersama Umno.

Pemimpin yang tinggal pula, kata Mujibur mempunyai dua kumpulan iaitu yang bersama kerajaan PN dan yang mahu bekerjasama dengan Pas sahaja dalam Muafakat Nasional (MN).

Yang mahu bersama Pas sahaja menghadapi pilihan raya umum adalah yang dipimpin oleh pemimpin yang tidak mendapat sebarang tempat dalam kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuk Najib Razak.

Kerajaan PN tidak melantik mana-mana pemimpin yang sedang dibicarakan di mahkamah untuk memegang sebarang jawatan dalam kerajaan itu termasuklah pemimpin paling berpengaruh dalam Umno iaitu Najib dan Presiden Umno sekarang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

PH MENANG

Bagi Mujibur juga, Pakatan Harapan (PH) adalah pihak yang menang dengan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

“PH sentiasa mendakwa Najib salah dalam kes 1MDB. Keputusan ini pula berlaku ketika kerajaan bukan di bawah PH tetapi di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN),” kata Mujibur.

Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan Najib bersalah ke atas kesemua tujuh pertuduhan menerima RM42 juta dari SRC International.

“Saya yakin PH akan menggunakan sepenuhnya isu ini untuk menyerang PN dan juga Muafakat Nasional (MN),” katanya.

Beliau yakin, mana-mana pihak yang boleh menggunakan sepenuhnya kes ini akan mendapat kesan positif kerana ramai antara pengundi sekarang masih tidak membuat keputusan untuk menyokong mana-mana pihak.