Selepas Khalid tuntut permohonan maaf, Mahathir akan jumpa di mahkamah

Oleh Oleh FAZLI RADZI

Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan telah menerima surat tuntutan daripada peguam Tan Sri Khalid Abu Bakar  yang dipercayai berkaitan isu penyiasatan kes 1MDB.

Mahathir berkata dia juga telah mengarahkan peguamnya untuk menjawab surat bekas Ketua Polis Negara itu.

“Saya telah menerima surat tuntutan daripada bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar.

“Saya mengarahkan peguam untuk menjawabnya. Saya akan jumpanya di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di Facebooknya, hari ini.

Baru-baru ini, Mahathir mendakwa Khalid ketika menjadi Ketua Polis Negara telah membocorkan maklumat cadangan dakwaan terhadap Datuk Seri Najib ketika Najib yang ketika adalah perdana menteri berkaitan isu 1MDB.

Bagaimanapun, Mahathir mendakwa, perkara itu telah dibocorkan oleh Khalid kepada Najib yang telah menyebabkan dakwaan itu tidak menjadi kenyataan.

Cadangan dakwaan itu adalah hasil dari siasatan jawatankuasa khas yang disertai oleh empat ketua badan utama negara iaitu Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Zetti Akhtar Aziz, Peguam Negara Tan Sri Gani Patail, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Sri Abu Kassim Mohamed dan Khalid sendiri selaku Ketua Polis Negara.

Abu Kassim dan Gani kemudiannya telah tamat perkhidmatan mereka dalam tempoh yang hampir sama bermula dengan Gani.  Kemudian ia disusuli dengan Zetti.

Kelmarin, Khalid memberi tempoh tujuh hari untuk Mahathir membuat permohonan maaf secara terbuka atas kenyataannya bulan lalu itu yang dianggapnya berunsur fitnah.

Khalid turut menuntut Ahli Parlimen Langkawi itu menarik balik kenyataan yang menurutnya tidak benar dan menjejaskan reputasinya sebagai bekas Ketua Polis Negara.

Beliau juga akan memfailkan tuntutan ganti rugi sebanyak RM10 juta terhadap pengerusi penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu.