Malaysia Dateline

Selepas Kit Siang, Anwar Ibrahim pula disahkan kena Covid-19

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula disahkan positif Covid-19 selepas kira-kira tiga jam bekas Penasihat DAP, Lim Kit Siang disahkan positif wabak berkenaan.

Setiausaha Sulitnya, Shukri Saad mengesahkan hal tersebut menerusi kenyataan yang dihantar kepada media hari ini.

Menurutnya, Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu didapati positif Covid-19 selepas menjalani ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) di Parlimen hari ini.

Selepas Kit Siang, Anwar Ibrahim pula disahkan kena Covid-19
Anwar dan Kit Siang dalam Kongres Kebangsaan DAP ke-17 di IDCC Shah Alam, 20 Mac lalu.

“Saya ingin mengesahkan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah didapati positif Covid-19 hasil ujian PCR yang dijalankan di Parlimen.

“Datuk Seri Anwar akan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari mengikut protokol kesihatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.

Terdahulu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri disahkan dijangkiti Covid-19 setelah melakukan ujian sama di Parlimen.

Beliau yang membuat kejutan semalam di Kongres Kebangsaan DAP Ke-17 apabila mengumumkan berundur dari arena politik sekarang menjalani tempoh kuarantin.

Semalam, Anwar dan Kit Siang hadir ke pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) Shah Alam.

Namun, tidak dapat disahkan sama ada keputusan positif Covid-19 diperoleh Anwar berpunca daripada kehadirannya dalam kongres parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/lim-kit-siang-positif-covid-19/

Baca juga: https://themalaysialife.com/kenali-pelakon-baru-siti-hariesa-dalam-babak-panas-dengan-zul-ariffin/