Selepas kuasai banyak projek mega, China cetak bahan kempen BN

Selepas kuasai banyak projek mega, China cetak bahan kempen BN

Siri Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini tentunya mengundang durian runtuh pada pengilang terutama berkaitan bahan kempen sama ada di pihak Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang.

Walau bagaimanapun, situasi tersebut barangkali sudah tidak dinikmati sepenuhnya lagi syarikat tempatan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pemerhatian pada kain pemidang Barisan Nasional lengkap berlogokan 1Malaysia di sekitar ibu negara mendapati bahan kempen itu terang-terang dicetak oleh syarikat yang terletak di China.

Berserta ungkapan ‘Hidup Rakyat’ yang dipasang sejurus Parlimen dibubarkan, kain pemidang berwarna biru tua itu dinyatakan dicetak oleh Tex-Ebo International (Shanghai) Co Ltd.

Bahkan, nombor telefon dan faksimili syarikat di bandar raya terbesar Republik Rakyat China itu juga disertakan.

Kain pemidang kempen BN di Kampung Baru, Kuala Lumpur ini jelas papar China sebagai pencetak.

Imej bahan kempen BN tersebut kemudiannya tular di media sosial sekali gus mengundang cemuhan dan sindiran orang ramai termasuk mengaitkannya dengan polisi BN membina sejumlah besar projek gergasi bermodalkan dari China.

Paling ketara, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion dengan kerajaan China dan syarikat pembinaan China Communications Constructions Company (CCCC) yang melaksanakan projek itu menentukan pemilihan kontraktor.

Projek Forest City merangkumi 1,370 hektar dengan tambakan laut di wilayah Johor membentuk empat pulau pula bergantung pada pinjaman dana dari China berjumlah RM450 bilion.

China juga kekal sebagai pelabur terbesar bagi projek mega Iskandar Malaysia dengan pelaburan berjumlah RM22.2 bilion setakat Jun 2016.

Dua syarikat pelabuhan terbesar China turut terlibat dalam projek pembangunan pelabuhan laut dalam di Melaka Gateway, Pulau Melaka dengan pelaburan mencecah RM8 bilion.

Projek Taman Perindustrian Maritim dan Taman Perindustrian Guangdong-Melaka bagi pengeluaran barangan pengguna elektrik selain pembinaan sejumlah kawasan guna tanah bagi tujuan perdagangan dan perniagaan juga dipersetujui pada pertemuan antara kerajaan negeri Melaka dan Wilayah Guangdong pada 21 September 2015.

Bahkan dua tahun sebelum itu, pelaburan China mulai tertumpu di Kuantan pada ketika republik tersebut galak dengan tuntutan terhadap sebahagian besar laluan perdagangan antarabangsa di Laut China Selatan.

Di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Gebeng, Kuantan, pelaburan China melibatkan pembinaan kilang besi, kilang aluminium dan loji penapisan minyak sawit selepas pemeteraian perjanjian yang turut disaksikan Najib Razak pada 5 Februari 2013.

Selain itu, syarikat pelaburan negara kontroversi, 1MDB pada Mac 2016 telah menjual 60 peratus saham syarikat pemaju Bandar Malaysia, iaitu tapak lapangan terbang lama Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi kepada syarikat usaha sama Malaysia dengan China Railway Construction Engineering (CREC).

Bandar Malaysia seluas 197 hektar yang akan menjadi pusat rangkaian kereta api dalam pelan besar-besaran China menerusi dasar Satu Jalur, Satu Laluan (OBOR) itu juga diuar-uarkan akan menyaksikan kemunculan bandar bawah tanah terbesar di dunia.

Pentadbiran Najib sebelum ini juga dilihat terlalu bergantung kepada pinjaman dana dari China bagi projek raksasa lain seperti pusat kewangan antarabangsa, Tun Razak Exchange (TRX) seluas 28 hektar di tengah-tengah ibu negara.

Forest City di Johor yang memberikan hak milik kekal antara projek mega China di Malaysia.

Hubungan Barisan Nasional dengan Parti Komunis China (PKC) juga mengundang perhatian rakyat Malaysia ekoran gambar tentang Mesyuarat Meja Bulat antara kedua-dua parti tersebut pada 7 Disember 2017 tular di media sosial.

Pertemuan pemimpin parti-parti terbabit dikesan berlangsung sejak 2010 iaitu setahun selepas Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA Datuk Seri Ti Lian Ker pernah mendedahkan Umno melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PKC seawal 4 Ogos 2010.

Kerjasama dua hala BN dengan PKC turut diperkukuh melalui komitmen Persatuan Cina Malaysia (MCA) sebagai parti komponen BN dalam langkah meningkatkan apa yang dipanggil sebagai perkongsian di semua peringkat.

Buktinya, Ahli Jawatankuasa Pusat PKC, Song Tao yang juga Menteri di Jabatan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat PKC dilapor amat menghargai usaha MCA membantu memperkukuhkan kerjasama antara China dengan Malaysia.

Pertemuan Song dengan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dilaporkan akhbar milik MCA, The Star pada 6 April 2016 berkaitan inisiatif China yang dikenali sebagai Jajaran Ekonomi Laluan Sutera dan Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21.

Kemuncak siri pertemuan pemimpin BN di bawah Najib dan PKC menyaksikan 14 MoU Malaysia – China ditandatangani pada 1 November 2016 membabitkan sektor pertahanan, ekonomi, pertanian, pendidikan, kewangan dan pembinaan.

Urusan kemasukan warganegara China ke Malaysia sebagai pelancong, pelajar dan pemastautin juga dilihat dipermudahkan hasil pertemuan pemimpin Umno dan BN dengan pemimpin PKC melalui pelaksanaan sistem pengeluaran visa secara elektronik, E-visa dan program pengecualian pembayaran visa.

7.7
OVERALL SCORE
5 user votes x 9.2