Malaysia Dateline

5 MP penyokong Mahathir hantar usul tidak percaya kepada PM

Kesemua lima ahli parlimen penyokong Tun Dr Mahathir dan beliau sendiri telah menghantar notis usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dr Mazlee Malik, dalam satu kenyataannya berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pusat Penaja Pejuang pada 15 Oktober 2020 telah memutuskan agar kelima-lima ahli perlimen Pejuang membawa usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri (PM) termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi).

“Keputusan ini diambil kerana kegagalan PM mentadbir kerajaan sewaktu pandemik Covid-19 dan juga keraguan terhadap bilangan majoriti yang dipunyai oleh PM,” kata Ketua Penerangan Penaja Pejuang itu.

Kelima-lima ahli parlimen Pejuang telah menghantar usul undi tidak percaya tersebut kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat adalah ahli parlimen Langkawi, ahli parlimen Jerlun, ahli parlimen Simpang Renggam, ahli parlimen Kubang Pasu dan ahli parlimen Seri Gading.

Dalam notis usul itu, mereka mencadangkan :-

“Bahawa Dewan ini memberi kebenaran kepada Ahli Yang Berhormat bagi Kawasan ( nama Parlimen) untuk mencadangkan suatu usul iaitu menurut Peraturan Mesyuarat 26 (1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27 (3), dalam Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bin Yassin sebagai Ahli Yang Berhormat Pagoh Tidak Mempunyai Keyakinan Majoriti Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat.”

Sebelum ini, Tengku Razaleigh Hamzah (Umno-Gua Musang) yang turut menghantar notis serupa mendakwa, Perdama Menteri Muhyiddin sudah dua kali enggan membenarkan usul yang dicadangkan untuk dibahaskan, dengan cara menyenarainya di penghujung senarai perbahasan.

Justeru, Ahli Parlimen Gua Musang itu telah meminta agar Datuk Azhar Azizan Harun membenarkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dikemukakan di dalam Dewan Rakyat kali ini.