Malaysia Dateline

Selepas lama tidak berjumpa, pelajar universiti ditemui sudah meninggal dunia

Kematian seorang pelajar tahun akhir di sebuah universiti awam di Selangor hanya disedari semalam selepas seorang rakan mangsa datang untuk bertemunya kerana mereka lama tidak berjumpa.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, pelajar berusia 29 tahun jurusan Sarjana Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi itu ditemui meninggal dunia dalam bilik di tingkat lima kolej kediamannya.

Beliau berkata, polis menerima laporan berhubung penemuan mayat mangsa dari pusat kawalan IPTA berkenaan, pada jam 7.45 malam.

Jelasnya, rakan mangsa mendapati pintu bilik mangsa berkunci sebelum terbau bau busuk dari bilik itu.

Hal tersebut kemudiannya dimaklumkan kepada kepada felo pelajar sebelum mereka bersama beberapa penuntut lain di kolej itu membuka pintu bilik menggunakan kunci pendua.

“Siasatan awal mendapati, mayat pelajar terbabit ditemui di sebuah bilik di tingkat lima dalam keadaan terlentang di tepi katil.

“Mangsa yang ditemui tidak memakai baju dan hanya berseluar panjang itu difahamkan tinggal di bilik berkenaan seorang diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pelbagai barangan berharga termasuk komputer riba dan telefon bimbit masih ada di dalam bilik itu dan kali terakhir mangsa ditemui rakan adalah dua hari lalu.

Anbalagan memaklumkan, hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui di tempat kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Baca juga Mati ditekup disyaki guna bantal, nyawa pelajar sekolah menengah melayang di tangan kekasih

Baca juga Lelaki terus letak jawatan lepas gaji tersalah masuk, larikan diri dengan RM790,364