Malaysia Dateline

Selepas lapan hari kuarantin, ADUN Kampung Tunku sah positif Covid-19

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei memberitahu beliau sah positif wabak koronavirus (Covid-19) menerusi keputusan ujian saringan kali kedua hari ini.

Ketua Pemuda DAP Damansara itu berkata, beliau mengamalkan pengasingan kendiri di rumah sejak hari pertama tiba di KLIA2 selepas kembali dari Sabah dan dipakaikan gelang merah jambu pada 27 September lalu.

Beliau berkata, keputusan ujian saringan pertama yang diperolehi pada 30 September lalu juga adalah negatif dan pihaknya turut dipanggil Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling Jaya untuk menanggalkan gelang itu pada keesokan hari.

“Sejak hari pertama, saya mengamalkan pengasingan kendiri di rumah.

“Malangnya, saya mula mengalami gejala berkaitan dengan Covid-19 pada hari tersebut (tanggal gelang merah jambu).

“Berdasarkan saranan PKD, saya menjalani ujian saringan kedua pada 2 Oktober lalu dan sambung pengasingan kendiri sehingga dimaklumkan keputusannya hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Yi Wei berkata, pasukannya juga turut mengamalkan pengasingan kendiri sejak hari pertama kembali dari Sabah malah keputusan ujian saringan mereka juga didapati negatif.

Kesemua ahli pasukannya, jelas beliau, akan menjalani ujian kedua saringan Covid-19 dalam masa terdekat bagi memastikan mereka bebas daripada pandemik berkenaan.

“Saya juga menyeru semua yang berkontak rapat dengan saya sejak 14 hari kebelakangan ini untuk menjalani ujian saringan di klinik kesihatan yang berhampiran,” ujarnya lagi.