Malaysia Dateline

Selepas lebih dua minggu ‘merayap’ ke Putrajaya, anak Zahid dan suami didenda hanya RM800

Selepas lebih dua minggu memberitahu bertemu dengan seorang Menteri dan Timbalan Menteri di Putrajaya, Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff masing-masing hari ini didenda RM800.

Keputusan Mahkamah Majistret Putrajaya itu selepas anak Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pasangan tersebut mengaku bersalah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 9 pagi, 20 April lalu.

Majistret Shah Wira Abdul Halim menjatuhkan hukuman itu selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan serentak oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Nurul Hidayah, 41, dan Saiful Nizam, 49, bergerak dari Kajang menuju ke Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya iaitu dari satu kawasan berjangkit ke satu kawasan berjangkit di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

Oleh itu, kedua-dua mereka didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11, peraturan yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih dari enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya, Nurashikin Mokhtar memohon supaya kedua-dua mereka dikenakan denda maksimum RM1,000 kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Bagaimanapun, Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili kedua-kedua tertuduh memberi alasan anak guamnya mendapat surat jemputan dari Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad.

Terdahulu, Nurul Hidayah dan Saiful Nizam tiba di mahkamah pada 8.20 pagi menggunakan laluan lain tidak melalui pintu masuk hadapan mahkamah.

Mereka kemudiannya dilihat keluar dari dewan mahkamah pada 11.05 minit pagi dan sempat melambaikan tangannya kepada pengamal media serta mengucapkan terima kasih.

Sebelum ini, orang ramai mengecam Nurul Hidayah dan menganggap anak Zahid Hamidi itu mempunyai ‘lesen’ besar untuk ingkar PKP kerana keluar berdua.

Reaksi warganet itu ekoran tindakan Nurul Hidayah sendiri memuat naik gambar di Instagram miliknya selepas bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad di pejabat masing-masing.