Malaysia Dateline

Selepas lebih sebulan diisytihar pengerusi negeri, Azmin umum struktur PN Selangor

Selepas lebih sebulan senarai pengerusi badan perhubungan negeri (BPN) Perikatan Nasional (PN) diisytihar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akhirnya mengumumkan pembentukan struktur blok Bersatu-Pas itu di Selangor.

Pengerusi BPN PN Selangor berkenaan hari ini mengumumkan pembentukan struktur organisasinya untuk menjana kekuatan baharu dan memperkukuhkan keyakinan rakyat.

Menurutnya, PN Selangor komited menggembleng kekuatan setiap parti komponennya untuk mewakili kerencaman masyarakat dan kepelbagaian budaya di negeri berkenaan.

“Saya mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi pada 5 Februari lalu untuk membincangkan pembentukan BPN PN Selangor.

“Perbincangan berlangsung dengan penuh semangat musyawarah memberi fokus kepada pembentukan struktur organisasi yang strategik, berwibawa dan dinamik untuk menjana kekuatan baharu demi memperkukuh keyakinan rakyat.

“Kita akan terus memperkukuh dan memberdaya kepimpinan sehingga ke peringkat akar umbi untuk menjamin kestabilan negeri serta kesejahteraan rakyat Selangor secara keseluruhannya,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Azmin yang juga Ketua Penerangan PN itu berkata, lanskap politik Selangor dan cabaran semasa menuntut PN menampilkan politik progresif dengan fokus memperkukuh perpaduan, prihatin kebajikan, menjana pembangunan serta pertumbuhan ekonomi mampan.

Justeru, katanya, pengalaman bekerja bersama Bersatu dan Pas dalam kerajaan negeri sebelum ini pasti akan memperkukuh kekuatan dasar serta pelaksanaan gerak kerja demi masa depan Selangor yang lebih gemilang.

Struktur organisasi BPN PN Selangor:

Pengerusi: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bersatu)

Naib Pengerusi: Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Pas)

Naib Pengerusi: Datuk Abdul Rashid Asari (Bersatu)

Setiausaha: Muhammad Hilman Idham (Bersatu)

Penolong Setiausaha: Mohamed Senu Saad (Pas)

Bendahari: Mohd Hasnizan Harun (Pas)

Penolong Bendahari: Wan Dzahanurin Ahmad (Bersatu)

Ketua Penerangan: Shukor Mustafa (Bersatu)

Penolong Ketua Penerangan: Damanhuri Dol (Pas)

Ketua Pemuda: Hanafi Zulkapli (Pas)

Naib Ketua Pemuda: Asyraf Halim (Bersatu)

Ketua Wanita: Dr Daroyah Alwi (Bersatu)

Naib Ketua Wanita: Noraini Hussin (Pas)

Pengarah Pilihan Raya: Datuk Zuraida Kamaruddin (Bersatu)

Ahli Jawatankuasa Negeri :

1. Muslimin Yahaya (Bersatu)

2. Mohd Shafie Ngah (Pas)

3. Datuk Suhaimi Mohd Ghazali (Bersatu)

4. Noor Najhan Mohamad Salleh (Pas)

5. Mohd Rusnizan Ahmad (Bersatu)

6. Dr Mohd Fuad Mohd Salleh (Pas)